Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat ulangi penghargaan layanan baik Malaysia terhadap Trump – PMX

Wartawan JM
Foto: Izzuddin Abd Radzak
31 OKT. 2025

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent mengulangi penghargaan kepada Malaysia atas layanan baik yang diberikan kepada Presiden Donald Trump dan delegasi AS sewaktu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sekali lagi menyampaikan ucapan terima kasih kepada Trump atas kunjungan yang mencerminkan iltizam tinggi kepimpinan AS dalam memperkukuh hubungan dua hala yang konstruktif, saling menghormati dan membawa manfaat bersama.

“Saya juga menghargai peranan serta sumbangan Trump dalam memperkukuh kerjasama ekonomi global, di samping usaha memperluas jaringan pelaburan, perdagangan dan keamanan yang inklusif berasaskan dialog, keadilan serta saling memahami,” kata beliau dalam hantarn di Fb.

Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan bersama Bessent sempena hadir APEC 2025 di Korea.

MOMENTUM HUBUNGAN ERAT

“Pertemuan kami hari ini secara tidak langsung meneruskan momentum hubungan erat yang telah terjalin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan memberi ruang untuk kami membincangkan pelbagai aspek hubungan perdagangan serta kewangan antara Malaysia dan AS,” tambah beliau.

Perdana Menteri berkata tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkukuh pertalian ekonomi dua hala, termasuk komitmen bersama antara Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memastikan dasar pertukaran mata wang yang berdaya tahan, kestabilan pasaran kewangan, serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Beliau menjelaskan Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat atas landasan prinsip keterbukaan, keadilan dan hormat-menghormati, demi menjamin kestabilan, kemakmuran dan keamanan serantau serta sejagat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *