
Wartawan JM
3 NOV. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya buat semua pelajar yang mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 hari ini.
Beliau berkata inilah saat untuk menterjemahkan segala usaha, pengorbanan, setiap malam tanpa lena dan tiap doa yang tidak pernah putus selama ini.
“Kekal tenang, yakin pada diri dan teruskan berdoa. Insya-Allah, doa ibu bapa, guru serta seluruh rakyat Malaysia turut bersama mengiringi langkah kalian,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
SETIAP LANGKAH DIPERMUDAHKAN
Beliau berkata semoga setiap usaha diberkati, setiap langkah dipermudah dan anda semua memperoleh keputusan cemerlang.
Menurut Kementerian Pendidikan, peperiksaan SPM 2025 membabitkan 413,372 calon bermula hari ini hingga 23 Disember di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara. – JM
