


Wartawan JM
Foto RPO, BERNAMA
3 NOV. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim penuh yakin bahawa Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Arab Saudi dan Bahrain akan membawa limpahan manfaat serta pulangan yang terbaik buat rakyat dan negara.
Beliau juga merafak sembah dan menjunjung kasih atas keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi memulakan lawatan ke negara berkenaan.
“Patik mendoakan semoga keberangkatan Tuanku dan delegasi dirahmati Allah serta dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan sepanjang lawatan negara ini,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
KEKANGAN URUSAN KESIHATAN
Anwar juga memohon ampun kerana tidak dapat bersama mengiringi keberangkatan Baginda atas kekangan urusan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Arab Saudi dan Bahrain hari ini (3 November) bagi lawatan negara.
Lawatan negara ke Arab Saudi mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-7 Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984. – JM
