Perlis titikberatkan ilmu sebagai asas lahirkan masyarakat bijak, berdaya maju – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
6 NOV. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Perlis sentiasa menitikberatkan ilmu dalam kalangan umatnya kerana ia adalah asas bagi melahirkan masyarakat bijak dan berdaya maju.

Baginda bertitah ilmu merupakan amanah besar yang perlu dipikul oleh para guru agama.

Sehubungan itu titah Baginda tanggungjawab ini menuntut kesungguhan dalam memperkukuh pengetahuan dan kefahaman terhadap ilmu teras Islam seperti tafsir, hadis, fekah, usul fiqh dan sirah.

“Setiap pemegang tauliah mengajar agama Islam wajib mematuhi garis panduan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kerana semua peraturan ini penting bagi memastikan penyebaran ilmu berlaku secara teratur dan berasaskan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah,” titah Baginda.

SIMPOSIUM GURU AGAMA

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Simposium Guru Agama dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Warisan Kangar hari ini.

Majlis ini dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), sebagai usaha memperkukuh peranan dan kualiti penyampaian ilmu agama di negeri ini.

Majlis dimulakan dengan pembentangan ilmiah bertajuk “Kaedah Penyampaian Berkesan Dalam Pengajaran Agama Islam di Negeri Perlis” yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis Ustaz Mohd Rizal Azizan.

PELANCARAN BUKU TERBAHARU

Dalam majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran buku terbaharu Jabatan Mufti Negeri Perlis, di samping melancarkan program “Perlis International Sunnah Convention 2026” yang bakal menjadi platform ilmiah bertaraf antarabangsa.

Baginda turut berkenan menyempurnakan penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis, sebagai pengiktirafan rasmi kepada para asatizah yang layak dan berwibawa dalam menyampaikan ilmu serta menyebarkan dakwah di negeri ini.

Simposium ini bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh kefahaman dan kualiti pendidikan agama, malah berperanan sebagai medan mengiktiraf sumbangan penting para guru agama dalam membentuk masyarakat berilmu, berakhlak mulia dan berpaksikan ajaran Islam berteraskan sunnah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *