Cemerlang bukan sekadar matlamat peperiksaan, tetapi gaya hidup, amalan seharian – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
9 NOV. 2025

Ilmu itu cahaya, dan cahaya hanya akan bersinar dengan adab. Tanpa adab, ilmu kehilangan keberkatan dan maknanya. Ilmu yang dihiasi dengan nilai dan budi pekerti akan melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang dalam pemikiran, tetapi juga luhur dalam tindakan.

Kepada semua pelajar, jadikanlah kecemerlangan bukan sekadar matlamat peperiksaan, tetapi gaya hidup dan amalan seharian. Binalah kekuatan diri melalui nilai kejujuran, kesungguhan, hormat kepada guru dan kasih kepada ibu bapa. Kejayaan yang disertai nilai-nilai murni akan menjadi bekalan berharga sepanjang hayat.

Kejayaan pula tidak akan hadir tanpa usaha dan pengorbanan. Setiap langkah kecil yang kalian ambil hari ini merupakan batu asas kepada masa depan yang gemilang. Berusahalah dengan tekun, belajarlah dengan penuh disiplin, dan berdoalah dengan keikhlasan.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Orientasi Pembelajaran Cemerlang Untuk Pelajar Terbaik dan Pengawas Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin.

MEMBIMBING PELAJAR-PELAJAR

Program yang dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis ini bertujuan untuk membimbing pelajar-pelajar cemerlang serta pengawas sekolah agar terus memperkukuh jati diri, kepimpinan, dan semangat kecemerlangan akademik yang berterusan.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan pengurniaan sijil penghargaan kepada para fasilitator Bengkel Jati Diri 2025 dan Kem Jati Diri 2025, yang terdiri daripada 12 fasilitator lelaki.

Raja Muda turut berkenan mengurniakan Watikah Penghargaan kepada Yang Dipertua Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL), Datuk Md Silmi Abd Rahman, atas sumbangan dan komitmen berterusan beliau dan PPKL dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan pelajar di negeri ini.

Sementara itu, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sijil penghargaan kepada 12 fasilitator wanita sebagai tanda pengiktirafan atas peranan dan sumbangan mereka dalam membimbing generasi muda.

Majlis ini secara keseluruhannya mencerminkan komitmen berterusan institusi diraja Perlis dalam memperkasa bidang pendidikan, selain menyemai semangat kepimpinan, disiplin, dan kecemerlangan dalam kalangan pelajar yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan negeri dan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *