Usaha menaik taraf aset Askar Wataniah adalah strategi penting kukuhkan operasi – Raja Muda Perlis

Wartawan JM
9 NOV. 2025

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah usaha menaik taraf aset Rejimen Askar Wataniah disifatkan sebagai strategi penting bagi memperkukuh keupayaan operasi dan kesiapsiagaan pasukan simpanan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah ia merangkumi penambahbaikan fasiliti, peralatan, serta penerapan teknologi baharu bagi meningkatkan kecekapan latihan dan operasi.

“Pentingnya ia dinaiktaraf bagi memastikan Askar Wataniah sentiasa bersedia menyokong TDM dalam sebarang mobilisasi, sekali gus memperkukuh imej sebagai pasukan simpanan yang profesional, berdaya saing, dan relevan dalam landskap pertahanan negara masa kini,” titah Baginda.

Raja Muda bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam Rejimental PALAPES Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Alor Setar, malam tadi.

Berkenan berangkat Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli serta Timbalan Komandan PALAPES UniMAP Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

SENTIASA BERSIAP SEDIA

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, sebagai pasukan simpanan TDM, Askar Wataniah sentiasa bersiap sedia untuk digerakkan bagi menyokong operasi ketenteraan, sama ada dalam keadaan darurat, peperangan atau operasi keselamatan moden yang semakin kompleks.

“Peranan ini melangkaui fungsi sebagai “backup force”, dengan turut menyumbang kepakaran dalam bidang risikan, logistik dan pertahanan di peringkat tempatan, menjadikan Askar Wataniah komponen penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara,” titah Baginda.

Baginda selaku Tuanku Canselor UniMAP menekankan elemen pakar Askar Wataniah turut memperkukuh kesiapsiagaan negara melalui penglibatan aktif dalam mobilisasi nasional.

“UniMAP kini diberi kepercayaan untuk meneroka bidang aeronautik, sekali gus memperluas kepakaran yang dapat menyokong keperluan dan operasi ketenteraan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah penglibatan tersebut mencerminkan kecekapan, kepakaran, serta kesepaduan erat antara komponen pertahanan dan sektor awam dalam menjayakan konsep pertahanan menyeluruh negara.

Sempena Majlis Santapan Malam Rejimental PALAPES, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah supaya para pegawai muda supaya terus aktif selepas ditauliahkan dengan melibatkan diri dalam Rejimen Askar Wataniah di kawasan masing-masing.

Menurut Baginda penglibatan berterusan sangat penting bagi memastikan kesinambungan disiplin, semangat patriotisme, serta komitmen terhadap pertahanan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *