







Oleh: Sholina Osman
11 NOV. 2025
Lima pensyarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti berjaya dianugerahkan Doktor Falsafah (PhD) sempena Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok, Kedah.
Masing-masing menerima ijazah PhD bagi sesi kedua konvokesyen itu yang telah disempurnakan oleh Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin selaku Pro-Canselor.
Kejayaan ini menandakan satu lagi pencapaian bermakna buat warga politeknik dalam usaha memperkasa tenaga akademik Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
TIGA ADALAH PENSYARAH
Daripada lima penerima PhD tersebut, tiga adalah pensyarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis, seorang dari Politeknik Balik Pulau (PBU), Pulau Pinang, dan seorang dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kedah.
Tiga pensyarah PTSS pula terdiri dari Dr. Wan Mohd Yusoff Wan Yaacob – PhD (Information Technology) dari School of Computing (SOC), Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences (AHGS), UUM.
Ts. Dr. Mohd Amirul Helmi Ismail – PhD (Industry Creative), School of Creative Industry Management and Performing Arts (SCIMPA)
Dr. Azizee bin Aziz – PhD (Entrepreneurship), School of Business Management (SBM), UUM
Manakala Dr. Mohd Razif Mustapha – PhD (Multimedia), School of Multimedia Technology and Communication (SMMTC), UUM – dari Politeknik Balik Pulau (PBU).
Dr. Adiebah Ahmad – PhD (Accounting), Tunku Puteri Intan Safinaz School of Accountancy (TISSA-UUM, Universiti Utara Malaysia pula Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB).
TERLIBAT SECARA AKTIF
Selain berkhidmat sebagai tenaga pengajar, kelima-lima pensyarah ini juga terlibat secara aktif dalam pembangunan kurikulum, penyelidikan dan pembangunan, hubungan industri dan serta memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti setempat.
Sementara itu kegembiraan berganda kepada salah seorang dari lima penerima berkenaan iaitu Dr Mohd Amirul Helmi apabila bergraduat PhD bersama isterinya, Siti Irna Mustajap.
Siti Irna graduan dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), UUM
menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang berkaitan industri kreatif serta penghargaan “Graduate on Time” (GOT) di atas kejayaan menamatkan pengajian tepat pada masanya.
PENYAMPAIAN SIJIL GOT
Mereka diraikan dalam satu majlis penyampaian sijil GOT yang berlangsung di Foyer, School of Computing UUM dengan kehadiran pensyarah dan ahli keluarga.
“Pencapaian ini sangat bermakna kerana kami melalui perjalanan ini bersama-sama, saling menyokong antara satu sama lain sepanjang tempoh pengajian,” kata Dr Amirul Helmi yang turut memegang sijil GOT serta hadiah penghargaan.
Kejayaan pasangan ini turut mendapat penghargaan khas daripada Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail, yang menyifatkan mereka sebagai contoh ketekunan dan kesungguhan luar biasa dalam dunia akademik.
“Pasangan ini telah membuktikan bahawa dengan semangat, komitmen dan sokongan antara satu sama lain, tiada yang mustahil untuk dicapai dalam bidang akademik. Kami di SCIMPA amat berbangga dengan pencapaian mereka,” katanya. – JM
