
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 NOV. 2025
Malaysia mendukung sepenuhnya pendirian Kemboja untuk menggunakan saluran yang telah disepakati bersama sebelum ini dan menyemangati Perjanjian Damai Kuala Lumpur bertarikh 26 Oktober 2025 sebagai landasan untuk menamatkan pertikaian yang berlarutan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prinsip ini penting bagi memastikan sebarang perbedaan didepani dengan tenang, tersusun dan berasaskan persefahaman serantau.
“Sebagai sebuah negara yang berkomited tegas terhadap keamanan serantau, Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang adil dan bertanggungjawab, terutamanya dalam membantu kedua-dua negara sahabat mencapai penyelesaian yang berkekalan serta menyumbang pada pengukuhan kestabilan di rantau ini,” kata beliau dalam hantaran di FB.
MENILAI PERKEMBANGAN TERKINI
Terdahulu Anwar telah menghubungi Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menerusi panggilan telefon bagi menilai perkembangan terkini terkait isu sempadan antara Kemboja dan Thailand.
“Dalam perbincangan tersebut, saya menghargai setulusnya pendekatan yang matang yang diambil pihak Kemboja yang terus memilih jalan damai serta memberi keutamaan pada penyelesaian melalui perundingan dan dialog yang sihat,” ujar beliau. – JM
