






Oleh: Sholina Osman
21 NOV. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar kepimpinan tertinggi Negeri Perlis terus memperkukuh komitmen dalam usaha membawa negeri itu ke tahap pembangunan yang lebih tinggi melalui perancangan strategik yang tuntas, peningkatan keupayaan rakyat, serta pembentukan mentaliti yang lebih progresif dan berdikari.
Baginda bertitah bahawa inisiatif yang dilaksanakan pada masa ini tidak lagi memadai untuk memacu Perlis ke hadapan.
Justeru, titah Baginda negeri itu perlu digerakkan ke tahap seterusnya menerusi pendekatan komprehensif yang melibatkan semua lapisan daripada barisan kepimpinan hinggalah masyarakat di peringkat akar umbi.
SISTEMATIK AMAT PENTING
Baginda bertitah perancangan yang sistematik amat penting, termasuk penetapan sasaran hasil (revenue) yang realistik dan boleh dicapai oleh setiap jabatan.
“Perlis tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat, sebaliknya perlu membangunkan kapasiti penjanaan pendapatan sendiri agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara mampan,” titah Baginda.
Raja Muda turut menzahirkan teguran terhadap mentaliti kebergantungan kepada bantuan walaupun ramai sebenarnya berupaya berdikari.
PENGHALANG KEPADA KEMAJUAN
Sikap sedemikian, tegas Baginda, menjadi penghalang kepada kemajuan rakyat dan mesti ditinggalkan demi kepentingan bersama.
Dalam pada itu, Baginda menekankan bahawa pengurusan data yang tepat, lengkap dan menyeluruh merupakan komponen penting dalam memastikan keberkesanan perancangan dan pelaksanaan dasar.
Kekurangan kepakaran dalam pengumpulan serta analisis data dikenal pasti sebagai kekangan utama yang perlu ditangani segera bagi memastikan keputusan yang dibuat bersandarkan maklumat sahih, bukan sekadar anggaran atau andaian.
PROGRAM EKSESAIS KERAJAAN
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat ke Majlis Reunion Program Eksesais Kerajaan Perlis ke Sabah (Eks Perbah) Siri 17/23, 18/24 dan 19/25 Tahun 2025 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dr. Noriman Rojulai.
Turut hadir ialah Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW), Leftenan Kolonel Lasahi Laiji, dan Pensyarah Puspahanas, Brigedier Jeneral. Dr. Wan Edenin Wan Mahsin.
PERANCANGAN TINDAKAN SUSULAN
Majlis ini dianjurkan khusus bagi memaklumkan perkembangan status dan perancangan tindakan susulan berhubung isu-isu yang telah dibincangkan semasa Sesi Percambahan Minda Eks Perbah sebelum ini.
Pembentangan tindakan isu serta cadangan percambahan minda telah disampaikan oleh Dr. Noriman Rojulai, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji, dan Brigedier Jeneral Dr. Wan Edenin Wan Mahsin.
Perkongsian tersebut berperanan sebagai platform untuk merangka strategi penyelesaian terhadap cabaran semasa, menggalakkan pertukaran idea antara peserta, serta memastikan setiap cadangan yang dibawakan dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit demi memperkukuh keberkesanan program Eks Perbah pada masa hadapan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari di Dewan Bankuet, sebelum menyempurnakan simbolik pra-pelancaran Eks Perbah 2026. – JM
