Malaysia sedia perkukuh kerjasama bidang halal dengan negara-negara Afrika – PMX

Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
21 NOV. 2025

Malaysia menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang halal dengan negara-negara Afrika termasuk pembangunan pensijilan serta pembangunan kapasiti yang mampu memberi nilai tambah kepada komuniti Islam setempat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia selaras dengan komitmen Malaysia yang mengangkat martabat Islam sebagai agama yang menjunjung kesejahteraan, toleransi dan ihsan.

“Saya menekankan kepentingan pendidikan, dakwah berhemah, dialog antara peradaban serta kerjasama erat dengan komuniti Islam di Afrika Selatan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau hadir pada sesi libat urus bersama pimpinan Islam Republik Afrika Selatan.

MEMBUKA RUANG BERMAKNA

“Sebuah pertemuan yang membuka ruang bermakna untuk kami berbincang, bertukar pandangan serta mengenal pasti usaha-usaha bagi memperkukuh pembangunan ummah,” jelas beliau.

Sebagai lambang persaudaraan, Anwar turut menyerahkan sumbangan senaskhah al-Quran edisi khas beserta rehal, selain empat kotak al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan bertajwid.

Anwar berada di sini sempena lawatan kerja empat hari bermula semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai tetamu Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa.

Perdana Menteri diundang menghadiri sidang kemuncak berkenaan yang bermula esok sehingga 23 November atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi
ASEAN 2025. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *