






Oleh: Sholina Osman
22 NOV. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar pemerkasaan agensi dan jabatan melalui penganjuran program berteraskan rakyat terus diperkukuhkan sebagai kunci kepada peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan, sekali gus memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada semua lapisan masyarakat, khususnya komuniti luar bandar di Perlis.
Baginda bertitah bahawa pendekatan bersepadu antara agensi dan kerajaan negeri bukan sahaja merapatkan hubungan dengan rakyat, malah mengupayakan komuniti melalui peluang ekonomi, keusahawanan dan pembangunan setempat yang lebih mampan.
“Usahawan tempatan turut digalakkan untuk menyertai pelbagai inisiatif agensi bagi memantapkan pendapatan dan mengukuhkan ekonomi keluarga. Mereka juga berperanan sebagai ikon serta sumber inspirasi kepada generasi muda, khususnya usahawan belia, dalam membina jati diri, menjana pendapatan secara kreatif, serta menuju kehidupan yang lebih berdikari dan bermakna,” titah Baginda lagi.
KARNIVAL JUALAN AGRO
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Karnival Jualan Agro Madani Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Malaysia, Aminuddin Zulkifli, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA Shahrizan Sudiman, bersama Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan.
Karnival Jualan Agro Madani Negeri Perlis 2025 diadakan dari 20 hingga 23 November 2025, bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
MEMPERKASA AGRO MAKANAN
Penganjuran empat hari itu bertujuan memperkasa sektor agromakanan negeri serta menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk, di samping mengukuhkan hubungan erat antara agensi dan masyarakat.
Mengangkat konsep “Macam-Macam Ada”, karnival ini menampilkan pelbagai program dan aktiviti menarik antaranya Perlawanan Bola Sepak MEGANTARA antara Istana FC Perlis melawan FAMA FC, Soccer Kid U-10, FAMA Fun Run 7KM serta Jualan Agro Madani yang menghimpunkan sayur-sayuran, hasil tanaman segar, buah-buahan tempatan dan produk agromakanan daripada pelbagai pengusaha.
Para pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah menarik seperti motosikal, basikal dan gajet melalui cabutan bertuah “Pilihan@Bertuah – Cashless La Boss” yang menggalakkan transaksi tanpa tunai.
PENYERTAAN BESAR MASYARAKAT
Penganjuran ini dijangka menarik penyertaan besar masyarakat dan seterusnya merancakkan ekonomi setempat serta mempromosikan produk agromakanan negeri Perlis secara lebih meluas.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis dan menyaksikan penyerahan Geran Pembaikan Imej FAMA Negeri, Geran Agropreneur Muda FAMA Negeri Perlis serta Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) Rakan Pemasaran Kontrak Pemasaran (RPKP) bernilai lebih RM200,000.
Raja Muda turut berkenan melawat reruai pameran dan menyantuni para usahawan tempatan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memartabatkan produk tempatan. – JM
