






Oleh: Sholina Osman
22 NOV. 2025
Istana FC Perlis dinobatkan sebagai juara Perlawanan Megantara selepas menewaskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) FC menerusi sepakan penalti 3-1 dalam aksi penuh debaran di Padang Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sempena Karnival Jualan Agro Madani Negeri Perlis.
Perlawanan yang sengit itu berakhir dengan keputusan seri 1-1, hasil jaringan cantik Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Perlis, Nizam Abd Aziz dari Istana FC, manakala FAMA FC memperolehi gol menerusi sentuhan klinikal oleh Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan di minit-minit akhir perlawanan.
Istana FC Perlis dibarisi oleh majoriti pemain-pemain di kalangan ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.
MENYAKSIKAN PERLAWANAN TERSEBUT
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemain.
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli dan Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA Shahrizan Sudiman.
Aksi cemerlang penjaga gol Istana FC, Ashidan Mat Isa, menjadi tumpuan apabila beliau hanya dibolosi sekali melalui sepakan Muhamad Razis Samsu, selain berjaya menafikan tiga lagi sepakan penalti FAMA FC.
MEMACU KEMENANGAN PASUKAN
Ketenangan beliau di gawang banyak membantu memacu kemenangan pasukan dan terpilih sebagai ‘Pemaun Terbaik’ untuk pasukannya.
Tiga jaringan penalti Istana FC pula disempurnakan oleh Pelakon, Nurbazly Hanif Beseri, Pengarah MARA Perlis, Mohd Azam Jamaluddin dan Mohd Nizam, sekali gus mengesahkan kejuaraan pasukan itu.
Hanya sepakan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Perlis, Kalai Kumar Periyasamy berjaya diselamatkan.
Terdahulu Raja Muda berkenan menyempurnakan simbolik perasmian perlawanan tersebut sebagai tanda bermulanya aksi Perlawanan Megantara yang berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan. JM
