






Oleh: Sholina Osman
23 NOV. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar dalam mengejar kecemerlangan akademik dan profesional, para graduan tidak sesekali mengabaikan asas kesejahteraan diri.
Baginda bertitah ia merangkumi rehat yang mencukupi, pola tidur yang teratur, pemakanan seimbang, senaman berkala serta hubungan harmoni bersama insan tersayang.
Titah Baginda, kesihatan tubuh dan ketenangan minda merupakan tonggak utama bagi prestasi yang benar-benar cemerlang.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan bahawa dalam dunia akademik dan profesional, graduan digalakkan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Namun pada masa yang sama, memberi ruang untuk berehat, mendapatkan sokongan, dan menghargai keletihan diri adalah langkah bijaksana demi mengekalkan kesejahteraan serta prestasi jangka panjang.
PENYELIDIKAN BUKANLAH NOKTAH
Setiap kegagalan atau kelewatan dalam penyelidikan bukanlah noktah, sebaliknya merupakan komponen penting dalam proses pembelajaran.
Pandanglah cabaran sebagai latihan untuk memperkukuh kekuatan minda dan emosi, bukannya beban yang mematahkan semangat.
Jangan sesekali menghadapi tekanan berseorangan.
“Rakan penyelidik, penyelia, keluarga tersayang dan rakan sekerja boleh menjadi sumber kekuatan. Kadang kala, sekadar didengari pun sudah cukup untuk meringankan beban,” titah Baginda.
Demikian titah Tuanku Raja Muda, merangkap Canselor, ketika menyempurnakan Sidang Ketiga Istiadat Konvokesyen 20 Universiti Malaysia Perlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Pada sidang tersebut, seramai 521 graduan daripada Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) menerima penganugerahan masing-masing. – JM
