Sidang Kemuncak G20: PMX suarakan kezaliman di Gaza, kemelut di Sudan, pendamaian di Ukraine

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
23 NOV. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kepada semua negara yang hadir di Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg bahawa mereka sedang berhimpun di sebuah benua yang pernah dirundung dasar apartheid yang bobrok, dan luka yang ditinggalkan sangat membekas.

Anwar berkata ia menjadi hujah pokok untuk beliau menyuarakan kezaliman dan pembantaian di Gaza dihentikan, serta berusaha untuk mengakhiri kemelut di Sudan serta mencari penyelesaian damai di Ukraine.

Beliau berkata Malaysia juga berkongsi pengalaman ASEAN dalam menangani tekanan dan pemerasan politik, kejutan dari dampak tarif, rantaian bekalan yang lesu serta perubahan teknologi yang bergerak pantas.

Tegas beliau pengajaran dari itu tersedia jelas yakni ketahanan tidak lahir dari ‘isolation’, tetapi terjelma dari dasar yang sepadu dan kerangka peraturan yang boleh dijangka.

BETAPA GELOMBANG AI

“Justeru, saya tegaskan betapa gelombang AI akan mengubah corak pasaran kerja dan ia akan menjadi jauh lebih rumit sekiranya negara tidak bersedia dengan rempuhan gelombang tersebut,” katanya beliau dalam hantaran di FB.

Anwar turut sentuh bahawa dunia tidak mampu membina daya tahan global sekiranya kita terus dirundung kelesuan fiskal, tatkala banyak negara sedang berbelanja lebih untuk mendepani permasalahan hutang ketimbang pendidikan.

“Walhasil, kita mesti melabur sebelum kemelut merempuh, bukan selepas. Malaysia tentunya bersedia untuk bekerjasama dengan semua rakan dan sahabat untuk memperkukuh ekonomi global yang terbuka, stabil dan yang menjamin peluang yang adil kepada setiap warga dan insan,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *