Malaysia gigih melabur teknologi kurangkan jejak karbon – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
23 NOV. 2025

Malaysia kini sedang gigih melabur dalam teknologi yang mengurangkan jejak karbon dan dampaknya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia mencakup dari Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) hingga kepada rangkaian tenaga serantau.

Beliau berkata inilah jalan sebenar untuk memastikan peralihan tenaga tidak hanya tinggal slogan semata tetapi mesti menjadi jalur yang dapat ditempuh oleh rakyat terbanyak tanpa menanggung beban yang memeritkan.

TIDAK AKAN BERMAKNA

“Saya turut mengulangi bahawa pembangunan tidak akan bermakna sekiranya manusia dikesampingkan,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau bercakap di pentas Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg.

Anwar berkata dunia memerlukan sistem kewangan iklim yang lebih adil, dukungan yang menyentuh nasib petani kecil, dan rangka kerja global yang tidak meminggirkan negara membangun jauh nun di belakang.

Sehubungan itu kata beliau Malaysia lantas komited untuk mencipta kerjasama di peringkat global atau serantau dalam memastikan ketahanan, keadilan dan kesejahteraan.

WACANA YANG BERLEGAR

“Ia tidak hanya wacana yang berlegar di kalangan elit tetapi realiti bagi jutaan insan yang menaruh harapan pada apa yang diputuskan di Johannesburg, Afrika Selatan,” tambah beliau.

Beliau berkata semua yang hadir di Sidang Kemuncak G20 membicarakan tentang masa depan iklim, keterjaminan makanan dan peralihan tenaga.

“Saya lontarkan bahawa suara rantau kita yang sekian lama dirundung risiko bencana dan tekanan malapetaka iklim mesti menjadi diambilkira dan mesti menjadi sebahagian daripada halatuju global,” kata beliau.

Jelas Anwar pengalaman ASEAN telah menjadi petunjuk bahawa daya tahan tidak hanya terbina pada saat kemelut, tetapi mesti terpacul melalui pelaburan dan pendanaan awal, termasuk sistem amaran awal, dan kerjasama rentas sempadan yang berpaksikan kemanusiaan.

“Di ruang bicara yang sangat bertenaga itu, saya mengangkat satu hakikat yang tidak mampu disembunyikan di balik retorik mual, yakni bahawa tuntutan tenaga dunia masih belum selari dengan kemampuan teknologi bersih dalam mencapai matlamat tersebut,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *