Banjir di Perlis semakin buruk dengan peningkatan mangsa kepada 5244 orang

Oleh: Sholina Osman
Foto media sosial
25 NOV. 2025

Landskap di seluruh Perlis kini berubah apabila banyak kawasan dilihat bagaikan “lautan” sehingga mengakibatkan jumlah pemindahan mangsa banjir meningkat kepada 5244 orang dari 1559 keluarga.

Ia melibatkan 1174 mangsa dari 340 keluarga dari kawasan Padang Besar, 2621 mangsa dari 730 keluarga kawasan Kangar dan 1450 mangsa dari 489 keluarga kawasan Arau.

Angka terkini sehingga pukul 8 malam ini (25 November) mengikut jadual yang dikeluarkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis.

Antara puncanya apabila hujan yang berterusan dan “trend” air sungai yang meningkat.

DI SELURUH NEGERI

Berikutan itu sebanyak 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri melibatkan kawasan Padang Besar, Kangar dan Arau.

Difahamkan juga ada mangsa yang memilih untuk menumpang di rumah jiran atau saudara yang masih tidak terjejas dengan banjir.

Tinjauan Jendela Madani juga mendapati penduduk sibuk membeli barangan kering dan basah kerana bimbang terputus bekalan makanan akibat banjir.

Paling laris adalah roti dan telur apabila kebanyakan rak barangan ini hampir kosong di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit.

MULA MENCARI TEMPAT

Bagi yang mempunyai kereta pula mula mencari tempat lebih tinggi untuk parkir bagi mengelak ditenggelamkan air banjir.

Bagaimanapun kebanyakan kedai makan masih beroperasi seperti biasa di mana ada juga yang terpaksa menyediakan makanan di dalam air banjir.

Tidak kurang masih ada yang mengambil kesempatan khususnya anak muda meredah banjir dengan motosikal beramai-ramai tanpa memikirkan keselamatan diri dan orang lain. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *