




Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
26 NOV. 2025
Komuniti Malaysia di Kenya membuka lembaran baharu apabila terus mekar dengan kekuatan dan keunikan tersendiri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walau bertugas jauh dari tanah air, mereka tetap gigih menceritakan tentang budaya kerja yang berlainan, keluarga dan penyesuaian budaya, selain cekal mengekalkan tutur, nilai dan kehangatan adab Malaysia yang begitu dikenali.
“Ada yang sudah berdekad di Nairobi, ada yang baru berhijrah, tetapi semuanya membawa wajah Malaysia di setiap lapis kehidupan mereka di sini,” kata beliau dalam hantaran di FB setelah pertemuan dengan komuniti Malaysia di Kenya.
Beliau berkata lebih mengujakan, sebahagian mereka yang hadir adalah dari kalangan alumni Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP).
BENAR-BENAR MEMBEKAS
Apa yang benar-benar membekas di hati Perdana Menteri adalah rasa kekitaan dan kecintaan mereka terhadap Malaysia.
“Mereka mungkin tinggal nun jauh di benua Afrika, namun hati dan kalbu mereka tetap terikat dengan negara,” kata beliau.
Jelas Anwar dalam cara mereka bekerja, bersahabat dan jati diri, mereka secara tidak langsung mengangkat nama Malaysia.
“Saya ternyata bakal pulang ke tanah air dengan rasa bangga dan keyakinan bahawa hubungan seperti ini yang berpaksi pada ketulusan dan kejujuran akan terus menjambatani Malaysia dengan dunia seluruhnya,” ujar beliau. – JM
