












Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PRN Sabah ke-17)
27 November 2025
PMX terus menggempur semula Sabah, sebaik sahaja mengakhir lawatan Misi Diplomasi MADANI ke benua Afrika yang telah membuahkan hasil yang signifikan serta memperluaskan jajaran kerjasama strategik dengan negara tersebut.
Jelajah dua hari Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim di Sabah bukan sahaja untuk menyantuni rakyat Sabah tetapi juga menyuntik semangat calon-calon PH dan sekutu untuk terus menggempur kubu-kubu lawan dalam PRN Sabah yang ke-17 .
Berbaki hanya tinggal dua hari lagi hati pengundi perlu ditawan dan dikepung dengan kempen yang berterusan demi memastikan kemenangan bergaya calon-calon PH serta rakan sekutunya.
Jelajah PMX yang juga Presiden KEADILAN kali ini terus mendarat di bumi Sandakan untuk menghadiri Program Rahmah Mesra dan menyantuni pengundi N.54 Dun Karamunting.
GAYA SANTAI PMX SANTUNI ANAK MUDA AMAT DISENANGI
PMX juga mendekati anak-anak muda di Pusat Futsal Sim Sim, Sandakan
untuk menyelami keperluan, harapan serta tuntutan mereka demi membina masa depan yang gemilang di Negeri Bawah Bayu ini.
Gaya santai PMX menyantuni anak muda amat disenangi dan penjelasan berkaitan masa depan Sabah ditangan generasi muda mudah difahami.
Seperti yang dipertegaskan oleh PMX kesinambungan kemajuan dan sinergi padu perlu diterjemahkan melalui pemilihan kepimpinan yang tepat, khususnya sewaktu hari pengundian PRN pada 29 November ini.
“ Saya turut peringatkan hadirin bahawa Kerajaan Persekutuan menyalurkan sekitar RM17 bilion kepada Sabah setiap tahun, berbandingan kutipan hasil negeri sebanyak RM10 bilion, dan bukannya mengaut hasil atau khazanah negeri seperti didakwa sesetengah pihak,’’ jelas Anwar dalam siri ceramah di kawasan yang dijelajahi oleh beliau.
Usaha PMX mengajak rakyat terus memberi sokongan kepada Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Sabah secara konsisten ini secara tidak langsung memberi nilai tambah yang berganda kepada Calon-calon PH dan rakan sekutunya.
Pengundi yang bijak serta sayangkan Sabah sudah pasti akan memilih calon-calon yang mampu bergandingan untuk meneruskan lagi agenda pembangunan negeri serta negara demi masa depan yang gemilang.
SOSOK DAN AURA YANG SEMAKIN MENYENGAT
Terbukti Aura PMX di Sabah semakin menyengat apabila kemunculan sosok tubuh Anwar paling dinanti-nanti sepanjang kehangatan PRN di Sabah.
Sambutan terhadap PMX bukan sahaja daripada komuniti luar bandar tetapi juga kalangan pemimpin setempat, usahawan-usahawan daripada pelbagai bidang tetapi juga golongan profesional khasnya kalangan orang muda.
Rata-rata rakyat Sabah tahu bahawa PMX adalah Perdana Menteri yang amat memahami denyut nadi orang Sabah dan yang paling kerap ke negeri itu dalam tempoh tiga tahun memimpin Kerajaan MADANI.
Untuk rujukan, dalam PRN Sabah ke-17 ini KEADILAN bertanding 12 kerusi yang menampilkan calon-calon yang dikenali pengundi di kawasan masing-masing serta berpengalaman sebagai pemimpin.
Manakala DAP bertanding untuk lapan kerusi DUN dan Amanah satu kerusi.
PH hanya bertanding 22 kerusi daripada 73 kerusi Dun yang terdapat di Sabah adalah kerana ia turut menjalin kerjasama dengan GRS dan juga BN.
Maka itu, mengambil kira kedudukan GRS yang kini menerajui kerajaan negeri dan BN sebagai rakan kongsi utama di peringkat pusat, jumlah 22 kerusi itu adalah dikira amat munasabah dalam konteks perkongsian kuasa.
Meskipun hanya bertanding 22 kerusi, tetapi PH dijangka mampu mencipta sejarah dengan lebih banyak kerusi mampu dimenanginya.
Dalam tinjauan penulis di Sabah
(melalui temubual dengan pelbagai kaum) , faktor utama yang dijangka menyumbang ke arah pencapaian itu menjadi kenyataan ialah aura serta kedudukan Anwar selaku Presiden KEADILAN dan Pengerusi PH yang kini memegang jawatan Perdana Menteri.
Kedudukan itu dirasakan mampu menarik lebih banyak sokongan pengundi kepada PH pada hari pengundian, 29 November depan.
Dalam setiap tempat atau program yang dihadirinya, kehadiran pengundi adalah luar biasa sekali.
Rakyat Sabah berduyun-duyun hadir untuk bertemu muka dan mendengar ucapan Perdana Menteri yang aura pengucapan awamnya tidak perlu dihuraikan lagi.
Terlihat ada kepuasan di wajah mereka yabg hadir apabila dapat bertemu muka dan mendengar ucapan Perdana Menteri secara langsung, bukan sebagaimana sebelum ini di mana mereka hanya dapat menatap wajahnya di kaca televisyen atau di skrin telefon sahaja.
Jika kita masih ingat, pada PRN Sabah yang lepas, Bersatu mampu memenangi paling banyak kerusi berbanding lain-lain parti, antara faktor utamanya ialah Perdana Menteri ketika itu adalah Muhyiddin Yassin.
Berbanding dengan Muhyiddin, tanpa diragui Anwar jauh lebih berketrampilan dan terserlah lagi aura serta kewibawaannya.
Dengan itu, melalui bilasan kempen dan ucapan di hari-hari terakhir sebelum hari pengundian nanti, Anwar dengan auranya yang menyerlah itu dirasakan mampu membuatkan limpahan pengundi Sabah memberi sokongan kepada calon-calon PH yang bertanding.
Lagi pula, oleh kerana Anwar adalah Perdana Menteri dan PH merupakan peneraju kerajaan di peringkat pusat, ia adalah kelebihan yang amat merugikan jika ia tidak disusuli dengan turut memberi lebih kerusi kepada gabungan itu untuk sama-sama berkhidmat kepada rakyat Sabah.
