
Wartawan JM
27 NOV. 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan penuh rasa dukacita menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga wartawan sambilan Astro AWANI di Perlis Allahyarham Mohamad Asri Shafii.
Baginda bertitah pemergian Mohamad Asri meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga dan rakan-rakan sejawatan, tetapi juga kepada masyarakat yang mengenali dedikasi serta komitmen tinggi beliau terhadap profesion kewartawanan.
“Raja Muda turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan berdoa semoga keluarga yang ditinggalkan diberi ketabahan, kesabaran, dan kekuatan dalam menghadapi saat-saat sukar ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau.
BERANGKAT MENZIARAHI JENAZAH
Baginda berkenan berangkat menziarahi jenazah dan menyampaikan takziah kepada balu Allahyarham di Masjid Tambun Tulang untuk memberikan penghormatan akhir.
Mohamad Asri, 49, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan rakyat Malaysia yang terperangkap dalam bencana banjir di Hat Yai, Thailand, dipercayai akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop dalam kenyataan berkata Mohamad Asri ditemukan tidak sedarkan diri di tepi jalan di Jalan Behor Pulai, Kangar pada 7.20 pagi Rqbu selepas dikatakan menolak keretanya yang terkandas dalam banjir. – JM
