



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
29 NOV. 2025
Maharani Freeport dijangka menjana limpahan ekonomi apabila lebih 40,000 peluang pekerjaan baharu, majoritinya dalam bidang bernilai tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ini berikutan Maharani Freeport telah pun digazetkan sebagai pelabuhan bebas dan zon bebas pada 28 November 2025.
Berikutan itu kata beliau pelbagai insentif cukai turut diperkenalkan bagi menarik syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan perdagangan, operasi pelabuhan laut dalam, serta industri sokongan seperti pusat data dan teknologi hijau.
LEBIH 100,000 KAPAL
“Setiap tahun, lebih 100,000 kapal melalui Selat Melaka,” kata beliau semasa menyampaikan ucaptama semasa pelancaran Maharani Freeport di Tanjung Emas di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang telah berkenan mencemar duli merasmikan Maharani Freeport, sebuah lagi pembangunan diyakini bakal merancakkan semula denyut nadi ekonomi Muar khususnya, dan Malaysia keseluruhannya.
Anwar berkata Pelabuhan Bebas yang diterajui sepenuhnya oleh sektor swasta ini dirangka sebagai hab transshipment, logistik dan perdagangan serantau yang mesra alam, berteraskan pembangunan karbon sifar bersih.
“Dengan nilai pelaburan yang tinggi, kawasan strategik di pintu selatan Selat Melaka ini mempunyai potensi menarik pelaburan global bernilai berbilion ringgit dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat ekonomi maritim serantau,” kata beliau dalam hantaran di FB. – JM
