



Oleh: Sholina Osman
1 DIS. 2025
Pelakon Datuk Aaron Aziz, 49 memberi peringatan penting kepada orang ramai supaya hati-hati jika menerima sebarang panggilan telefon kerana dibimbangi akan terperangkap dengan taktik baharu “scammer”.
“Jika panggilan itu bukan dari nombor dikenali atau simpanan kita, jangan sesekali menjawap hello berkali-kali serta bertanya siapa ini,” kata pelakon ini dalam hantaran di Instagram.
Beliau menasihatkan supaya dengar dahulu jangan bercakap apa-apapun sehingga pemanggil iaitu “scammer” itu memperkenalkan diri.
MENIRU SUARA KITA
“Kalau kita bercakap dahulu mereka akan menggunakan suara ini untuk
“scam”, Kecerdasan Buatan (AI) dan bermacam-macam lagi apabila dengan meniru suara kita,” kata beliau lagi.
Aaron menasihatkan semua supaya sentiasa berhati-hati dengan taktik “scammer” ini.
Jelas Aaron kalau ingin menjawap juga panggilan itu, cuba ubah bunyi
suara anda dari yang asal bagi mengelak disalah guna oleh “scammer”.
Aaron berkongsi ini kerana dari pengalaman sendiri di mana “scammer” membuat panggilan kepada beliau hampir setiap hari.
SITUASI TIDAK DIJANGKA
Aaron Aziz juga pernah berdepan situasi tidak dijangka apabila wajahnya dijana menggunakan AI untuk kegiatan penipuan, termasuk dikaitkan dengan ‘love scam’ sebanyak tiga kali.
“Scammer” menggunakan wajah beliau yang disunting seolah-olah sedang berbual dengan mangsa melalui panggilan video bagi memperdaya wanita, terutama golongan bujang.
Sebelum ini Aaron pernah menjadi mangsa penipuan termasuk sindiket pengurusan Tabung Haji yang menyebabkan kerugian lebih RM140,000, selain membuat laporan polis terhadap empat akaun Instagram yang menjalankan sindiket penipuan menggunakan suara dan fotonya tahun lalu. – JM
