




Wartawan JM
1 DIS. 2025
Sambutan Hari Kanak-Kanak Tahun 2025 adalah peringatan kepada semua tentang betapa pentingnya menjaga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak kerana mereka adalah pewaris negara serta masa depan Malaysia.
Sehubungan itu Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahukan supaya diberikan penekanan terhadap agenda pembangunan kanak-kanak, termasuklah aspek pendidikan, kesihatan, pemakanan, pembesaran, keselamatan serta kesejahteraan emosi dan mental.
“Usaha ini menuntut kerjasama bersepadu daripada semua, tidak kira di kementerian, jabatan, komuniti, masyarakat setempat, ibu bapa, keluarga, pihak swasta dan juga institusi pendidikan,” katanya dalam hantaran di FB.
MERASMIKAN PROGRAM
SAMBUTAN
Terdahulu Dr Wan Azizah merasmikan Program Sambutan Hari Kanak-Kanak Tahun 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Komuniti Taman Bukit Cheras.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dengan kerjasama Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Turut hadir, Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara; Suraya Wen, Pengarah Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Mohd Hisyam Mohd Salleh, Ketua Cawangan Khas, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
TAHNIAH DAN SYABAS
Dr Wan Azizah mengucapkan tahniah dan syabas diucapkan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas penganjuran program penuh manfaat ini.
Beliau berharap semua pihak yang terlibat dalam usaha bersepadu untuk meraikan sambutan hari kanak-kanak dan memenuhi hasrat meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. -JM
