
Wartawan JM
3 DIS. 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sejarah gemilang apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara 2024–2025 dalam kategori Pendidikan & Akademik: Buku Sains dan Teknologi Terbaik.
Kejayaan ini diraih melalui penerbitan buku berjudul Engineering Materials for Technologists, yang dihasilkan oleh kumpulan akademik UniMAP dan rakan kolaborasi di majlis penganugerahan yang berlangsung di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025, di Setia City Convention Center 2, Shah Alam.
Pemilihan UniMAP sebagai penerima dibuat berdasarkan penilaian teliti oleh panel profesional, yang menekankan kualiti penyelidikan, ketepatan kandungan, dan nilai akademik tinggi buku tersebut dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu kejuruteraan dan teknologi.
HASIL KOLABORASI PENYELIDIKAN
Buku Engineering Materials for Technologists adalah hasil kolaborasi penyelidikan antara tenaga akademik UniMAP dan institusi rakan strategik dari Kolej Universiti TATI (TATIUC), dengan penulis utama termasuk Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah (Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia) dan Dr Nor Bahiya Baba (TATIUC).
Turut menyumbang penulisan adalah Dr. Mohd Najib Muhamed, Dr. Faizul Che PA, Dr. Rabiatul Manisah Mohamed dan Dr. Muhammad Faheem Mohd Tahir.
Buku terbitan Penerbit UniMAP berkenaan disifatkan panel penilai sebagai karya ilmiah berimpak tinggi yangbukan sahaja relevan untuk pengajaran dan pembelajaran di universiti, tetapi juga mampu menjadi rujukan utama industri dan penyelidikan masa depan dalam bidang sains bahan dan kejuruteraan.
RAKAN-RAKAN PENULIS
Mohd Mustafa berkata beliau dan rakan-rakan penulis menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati atas pengiktirafan yang diterima dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada penyelidik muda yang lain.
“Pengiktirafan ini juga memberi inspirasi kepada kami untuk terus memperbanyakkan karya ilmiah yang boleh memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat.
“Pada masa sama, saya berharap ia dapat memberi motivasi kepada penulis-penulis muda agar terus berkarya serta memperkukuh budaya penulisan ilmiah di negara ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
BUKAN SEKADAR KEBANGGAAN
Terdahulu, mengulas kejayaan ini, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata pengiktirafan ini bukan sekadar kebanggaan kepada universiti, tetapi bukti jelas bahawa apabila komited menghasilkan karya bermutu, hasilnya mampu memberi impak luas — kepada pelajar, akademik, industri dan masyarakat.
“Saya berharap penghargaan ini akan menjadi pemangkin bagi lebih banyak karya ilmiah serta memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi di UniMAP.”
“Di samping itu kejayaan ini juga menunjukkan bahawa UniMAP terus relevan dan berdaya saing dalam arena pendidikan tinggi Malaysia, terutama dalam mempergiatkan penyelidikan dan penerbitan berkualiti seiring aspirasi nasional menuju keunggulan global,” katanya.
Kejayaan ini sekaligus mengharumkan nama UniMAP di peringkat kebangsaan, serta memperlihatkan komitmen berterusan universiti dalam menghasilkan karya ilmiah dan inovasi yang memberi manfaat bukan hanya kepada komuniti akademik, tetapi juga kepada pembangunan negara. – JM
