






Wartawan JM
7 DIS. 2025
Program Rancakkan
MADANI Bersama Malaysiaku menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 300,000 pengunjung dalam tiga hari penganjurannya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program yang berlangsung sejak Jumaat lepas itu dilaksanakan bagi membolehkan rakyat menilai pencapaian Kerajaan MADANI selama tiga tahun ini, selain menikmati perkhidmatan kerajaan yang ada.
“Tahniah kepada rakyat yang menyantuni dan menjayakan program ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program
Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di Putrajaya.
Hadir sama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta barisan jemaah Menteri.
BAGAIMANA KESTABILAN POLITIK
Perdana Menteri berkata tiga tahun perjalanan Malaysia MADANI menyaksikan bagaimana kestabilan politik dan kesepakatan telah membuka laluan kepada dasar serta reformasi yang berani dan pelaksanaan yang jauh lebih teratur.
Beliau berkata segala pencapaian ini berdiri atas dukungan rakyat pelbagai kaum serta iltizam penjawat awam dan pimpinan yang bekerja tanpa henti demi mengangkat martabat negara.
“Alhamdulillah, ekonomi negara kembali kukuh dengan pertumbuhan antara tertinggi di rantau, ringgit yang mengukuh dan perdagangan melebihi RM2 trilion,” kata beliau.
Tegas beliau Malaysia juga hampir menoktahkan kemiskinan tegar, berbaki 0.09 peratus dan insya-Allah dapat diselesaikan awal tahun depan.
MEMPERKUKUH PERLINDUNGAN SOSIAL
Anwar berkata Kerajaan terus memperkukuh perlindungan sosial dan kebajikan rakyat menerusi kenaikan gaji penjawat awam terbesar dalam sejarah, STR dan SARA berjumlah RM15 bilion, serta pelbagai langkah lain untuk meringankan beban rakyat. Semua ini dilaksanakan kerana kita mendengar keresahan yang disuarakan.
Di Sabah dan Sarawak, isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya kini dipantau secara bulanan melalui penyelarasan Persekutuan–Negeri. Projek Pan Borneo juga berjalan mengikut jadual, mencerminkan komitmen kita memastikan setiap janji diterjemahkan kepada tindakan.
Reformasi institusi turut diperhebat melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pembaharuan Parlimen, RUU Ombudsman dan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, agar kemajuan negara disokong tatakelola dan integriti yang kukuh.
KEADILAN BUAT PALESTIN
Pada masa sama, Malaysia bersuara tegas di pentas antarabangsa menuntut keadilan buat Palestin, di samping membuka pasaran baharu di Asia, Afrika dan Amerika Latin bagi mengukuhkan kedudukan kita sebagai negara dagang yang berdaya saing.
Namun dalam ruang demokrasi yang terbuka, ada kelompok yang miskin hujah, memilih untuk menghina, menyebar sumpah seranah dan maki hamun, melemahkan usaha membangunkan negara dan meracuni akhlak awam.
“Tetapi saya tetap yakin dan percaya, selagi kita berjalan dengan tekad yang sama, Malaysia akan terus melangkah gagah dan berani menjadi sebuah negara yang makmur, dihormati dan disegani di seluruh dunia,” ujar Anwar lagi. – JM
