AKPS KLIA rampas 1.75 tan cili segar tidak patuh syarat permit import

Oleh: Sholina Osman
8 DIS. 2025

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA Bahagian Kargo telah merampas 1,750 kilogram cili segar (250 kotak)
yang dianggar bernilai RM16,504.62 pada 4 Disember 2025.

Kenyataan media AKPS memaklumkan cili segar yang dibawa masuk ini tidak mematuhi syarat permit import di Free Commercial Zone (FCZ) KLIA Kargo.

Hasil pemeriksaan lanjut terhadap satu konsainan telah mendapati komoditi pertanian tersebut tidak memenuhi keperluan permit import yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

DIIMPORT DARI BANGLADESH

Konsainan berkenaan dimport dari Bangladesh oleh sebuah syarikat berpangkalan di Melaka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1), Akta 728 (Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia) kerana gagal mematuhi syarat permit import.

Kesemua barangan rampasan telah ditahan untuk tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan.

AKPS KLIA kekal beriltizam untuk memastikan semua aktiviti pengimportan mematuhi
peraturan demi menjaga keselamatan, kesihatan dan kepentingan pengguna di negara ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *