Muhammadiyah perlu terus perkukuh dengan institusi agama, pendidikan dan kerajaan Perlis – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
8 DIS. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa hubungan strategik antara Muhammadiyah dengan institusi agama, pendidikan dan Kerajaan di Negeri Perlis perlu terus diperkukuh dari semasa ke semasa.

Usaha pengukuhan ini amat penting bagi memastikan pembangunan masyarakat dapat digerakkan secara lebih tersusun, berteraskan ajaran Islam yang murni serta bebas daripada unsur ekstremisme, perpecahan dan salah faham.

Baginda turut menegaskan bahawa Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) sebagai sebuah universiti muda yang kini memasuki usia empat tahun wajar melangkah lebih jauh dengan identiti yang utuh serta hala tuju akademik yang lebih jelas.

MENUNJUKKAN KOMITMEN TINGGI

Meskipun masih berada pada fasa awal pembangunan, UMAM dilihat telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuh jaringan pendidikan, kolaborasi ilmiah dan hubungan intelektual antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut Baginda lagi, kedudukan UMAM sebagai pusat pemerkasaan jaringan pendidikan tinggi ASEAN perlu terus dipertajam dan dimanfaatkan.

Peranan UMAM bukan sahaja perlu terhad kepada penyampaian program akademik, malah harus diperluas ke arah penerajuan penyelidikan, perkongsian ilmu, gerakan pemikiran dan pembinaan jaringan serantau yang mampu memberi impak sebenar kepada kemajuan masyarakat.

PERASMIAN SAMBUTAN MILAD

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan MILAD Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) yang ke-4 serta memperingati MILAD Muhammadiyah yang ke-113, yang berlangsung di Kangar baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Prof. Dr. H. Haedar Nashir, serta Naib Canselor UMAM, Dr. H. Saidul Amin.

Sempena sambutan ini, turut diadakan ialah Seminar Antarabangsa Muhammadiyah 2025, yang berlangsung selama dua hari, dengan tema “Transformative Leadership for Sustainable Muhammadiyah Higher Education.”

MENGHIMPUNKAN PELBAGAI TOKOH

Seminar tersebut menghimpunkan pelbagai tokoh akademik, pemimpin pendidikan tinggi dan wakil perguruan tinggi Muhammadiyah (PTMA) dari dalam dan luar ASEAN.

Perbincangan memberi tumpuan kepada isu-isu utama seperti kepemimpinan bertransformasi dalam pendidikan tinggi, amalan terbaik pengurusan universiti, serta peluang memperluas kerjasama strategik antara PTMA dan universiti serantau.

Para pembentang turut berkongsi pengalaman dalam mengurus institusi pendidikan berdepan perubahan global, keperluan adaptasi terhadap perkembangan teknologi baharu, serta pentingnya membangunkan kepemimpinan akademik yang berdaya tahan dan mampan.

MENARIK LEBIH RAMAI

UMAM juga optimis terhadap potensi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melalui pembangunan berterusan infrastruktur akademik, pengukuhan penyelidikan serta peningkatan prasarana kampus.

Penganjuran seminar antarabangsa ini bukan sahaja menjadi wadah meraikan pencapaian UMAM sepanjang empat tahun penubuhannya, malah memperkukuh jaringan kerjasama akademik Muhammadiyah di peringkat global serta menegaskan peranan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang dinamik dan berdaya saing. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *