Program 3 MADANI: MOT lancar Santuni MADANI, Kampung Angkat, Sekolah Angkat

Oleh: Sholina Osman
7 DIS. 2025

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melancarkan Program 3 MADANI, merangkumi Santuni MADANI, Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI dalam usaha memperkasa kesejahteraan rakyat serta memperkukuh hubungan kerajaan–komuniti.

Majlis telah berlangsung di Balai Raya Kampung Panchor, Seremban dan disempurnakan oleh Menterinya Loke Siew Fook.

Kenyataan media MOT memaklumkan dalam ucapannya, Loke menegaskan komitmen kerajaan terhadap pembangunan luar bandar.

MEMBUKTIKAN KOMITMEN KERAJAAN

“Inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat luar bandar menerima perhatian sewajarnya,” kata beliau.

Sehubungan itu katanya kerajaan sentiasa memastikan mereka tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.

Loke menambah MOT akan terus bekerjasama dengan agensi pusat, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti bagi memastikan aspirasi MADANI dapat diterjemahkan melalui program yang memberi impak langsung kepada rakyat.

KAMPUNG ANGKAT MADANI

Kenyataan media memaklumkan mengenai program Santuni MADANI ini ditumpukan di kedua-dua buah kampung terpilih melalui pelaksanaan di bawah Kampung Angkat MADANI seperti naiktaraf gelanggang bola keranjang, kerja-kerja membaik pulih tandas awam di gelanggang bola keranjang, dan pembinaan papan tanda pengenalan kampung yang baharu.

MOT turut berperanan sebagai perantara antara penduduk dan agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan dan juga Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) bagi menyelesaikan isu seperti permohonan pertukaran status tanah serta masalah paip sambungan.

Pada masa yang sama, jabatan/agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula menyediakan Perkhidmatan Pertukaran Helmet , Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) terlibat dengan Sesi Penyerahan Sekolah Angkat MADANI manakala Jabatan Laut Malaysia (JLM) serta lain-lain jabatan dan agensi kerajaan turut hadir menyantuni masyarakat setempat melalui penyediaan reruai perkhidmatan masing-masing.

PEMERIKSAAN GIGI BERGERAK

Selain itu, kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan turut dilaksanakan bagi menyediakan perkhidmatan seperti saringan kesihatan, pemeriksaan gigi bergerak dan pameran berkaitan kesihatan mental serta produk rokok dan vape.

Bagi Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) pula merupakan inisiatif di bawah kerangka Ekonomi MADANI bagi memperkukuh Reformasi Perkhidmatan Awam melalui pendekatan “Whole of Government”.

Sebanyak 200 sekolah di seluruh negara terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI dengan peruntukan sebanyak RM100,000 setiap sekolah bagi membantu institusi pendidikan yang kurang sumber melalui peningkatan infrastruktur, pembangunan guru, bimbingan pelajar dan peluang sokongan pendidikan lain.

SMK Seri Ampangan di Seremban telah dipilih sebagai sekolah angkat, melibatkan projek bernilai RM100,000 merangkumi pembekalan aset Google TV untuk kegunaan Pelajar Tingkatan Empat, program “Team Building” guru dan kerja menurap jalan serta penyediaan petak parkir bagi meningkatkan kemudahan dan persekitaran pembelajaran di sekolah tersebut. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *