UniMAP perkenal insentif, pengecualian yuran bagi atlet wakil Malaysia

Wartawan JM
7 DIS. 2025

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi apabila memperkenalkan inisiatif baharu kepada mahasiswa dan warga kampus yang berjaya wakil Malaysia.

Atlet universiti yang mewakili negara
dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) serta membawa pulang pingat dari mana-mana sukan kompetitif seperti Sukan Olimpik, Sukan Universiti Dunia, Sukan SEA dan lain-lain kejohanan bertaraf antarabangsa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP Prof Ts Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata melalui inisiatif tersebut, atlet UniMAP yang mewakili pasukan Malaysia bakal menerima insentif kemenangan mengikut pingat yang dimenangi, selain pengecualian yuran kolej bagi atlet yang mewakili Malaysia dan MASUM dalam kejohanan kompetitif.

SENTIASA MEMBERI SOKONGAN

Katanya, universiti sentiasa memberi sokongan penuh kepada mana-mana atlet yang beraksi membawa nama negara atau universiti di peringkat antarabangsa.

“Inisiatif ini adalah tanda sokongan dan komitmen UniMAP dengan harapan lebih ramai atlet Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), khususnya dari UniMAP, dapat mewakili negara pada masa akan datang. Sebelum ini UniMAP turut memperkenalkan Biasiswa Sukan UniMAP–Budaya Positif sebagai galakan kepada para atlet,” katanya.

Terdahulu, seorang pelajar UniMAP, Nur Laili Idani Rosli, bersama seorang staf universiti, Nor Rinda Ramli, telah dipilih mewakili Malaysia dalam acara woodball pada Sukan SEA 2025 di Chonburi, Bangkok, dari 9 hingga 15 Disember 2025 ini.

Lebih menarik, Ketua Sekretariat Program Sukan Prestasi Tinggi (PSPT) UniMAP, Nazmizan Muhammad, turut terpilih sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA tahun ini.

SATU AMANAH BESAR

Nazmizan yang juga bekas pelari pecut negara berkata pemilihan berkenaan merupakan satu amanah besar untuknya dan UniMAP.

“Saya amat berbangga dengan sokongan padu universiti terhadap pembangunan atlet, bukan sahaja melalui insentif tetapi juga penyediaan peluang menyertai kejohanan berprestij.

“Harapan saya agar lebih ramai atlet muda UniMAP berani mencabar diri dan membawa nama universiti serta negara ke peringkat tertinggi.” katanya.

UniMAP adalah sebuah universiti berteraskan kejuruteraan namun komited dalam membangunkan budaya sukan yang positif di kampus, sekali gus menyokong agenda pembangunan atlet negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *