TNB salur Zakat Perniagaan Tahun Kewangan 2024 sebanyak RM1,000,000 kepada MAIPs

Oleh: Sholina Osman
7 DIS. 2025

Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh komitmen sosialnya di Negeri Perlis melalui penyaluran Zakat Perniagaan Tahun Kewangan 2024 berjumlah RM1,000,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sumbangan ini mencerminkan kesinambungan tanggungjawab TNB dalam menyantuni golongan asnaf serta menyokong agenda pembangunan sosial negeri secara mampan dan berkesan.

Menurut Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Ir. Mahathir Nor Ismail, penyaluran zakat ini adalah manifestasi komitmen berterusan TNB terhadap umat Perlis.

SEMPENA PROGRAM BERKAYAK

Maklumat ini dipersembahkan oleh beliau kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sempena program berkayak anjuran TNB Perlis dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis di Kampung Wai, Kuala Perlis.

Keberangkatan Baginda turut diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Head (Retail & Stakeholders – Perlis) TNB, Abd Manan Abd Rahman.

Program pada petang tersebut turut diserikan dengan penyampaian bantuan kepada 80 penerima asnaf terpilih, selain sumbangan RM2,000 kepada Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq okeh pihak TNB.

PELBAGAI INISIATIF KERAJAAN

Menurut beliau, TNB turut melaksanakan pelbagai inisiatif kemasyarakatan termasuk Program Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR).

Tahun ini dua PBJ dan dua PMR dilaksanakan di Perlis, yang merupakan kesinambungan projek rakyat sebagaimana dilaksanakan pada tahun-tahun yang lalu.

Kedua-dua inisiatif ini membantu meningkatkan kesejahteraan keluarga berpendapatan rendah serta menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat kepada mereka.

TNB juga menyokong pembangunan sukan di Perlis melalui program sekolah angkat hoki bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, Kangar sejak 2024.

TERMASUK MENAJA PERALATAN

Sumbangan TNB termasuk menaja peralatan, kelengkapan pasukan dan
sokongan kejohanan di mana pasukan tersebut muncul Juara Zon Utara 2024 untuk Divisyen, diperingkat kebangsaan.

TNB turut melaksanakan Program PINTAR di Perlis melalui Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Serdang, Simpang Ampat, yang menjadi sekolah angkat bagi tempoh 2025–2027.

Sebagai sebahagian daripada 13 sekolah PINTAR TNB, sekolah ini menerima sokongan pendidikan dan kelengkapan pembelajaran bagi membantumeningkatkan peluang akademik murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

MEMASTIKAN MANFAATNYA SAMPAI

“Ini bukan sekadar kewajipan, tetapi amanah untuk memastikan manfaatnya sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” tegas beliau.

Inisiatif ini turut seiring dengan aspirasi negara untuk memperkasa golongan memerlukan, mengurangkan kadar kemiskinan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui pengurusan zakat yang telus dan berakauntabiliti.

Mahathir turut menambah bahawa dengan pelaksanaan program zakat dan pelbagai inisiatif komuniti secara konsisten, TNB beriltizam untuk terus menjadi rakan pembangunan sosial yang teguh bagi Negeri Perlis dan seluruh Malaysia.

PELEPASAN IKAN TALAPIA

Sempena program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik pelepasan ikan tilapia.

TNB komited memastikan setiap inisiatif sosial yang dilaksanakan membawa impak menyeluruh kepada masyarakat.

Penyerahan zakat ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama erat antara TNB dan MAIPs, malah mencerminkan usaha bersama dalam memperkasa kesejahteraan rakyat Perlis.

TNB juga akan terus menyokong pembangunan komuniti negeri ini melalui pelbagai program berfokuskan kebajikan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi, seiring aspirasi untuk membina masa depan negara yang lebih inklusif dan sejahtera. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *