Lelaki tempatan di Muar rugi RM310,000 ditipu pelaburan dalam talian tidak wujud

Oleh: Sholina Osman
9 DIS. 2025

Seorang lelaki tempatan terpaksa ‘berputih mata’ apabila impian untuk kaya dengan segera telah musnah apabila ditipu sebanyak RM310,000.00 dalam pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Muar Asistan Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata lelaki berusia 47 tahun itu terjebak dengan “scammer” apabila melihat satu iklan pelaburan di platform Youtube pada September 2025.

“Mangsa tertarik dengan iklan yang menawarkan keuntungan berlipat kali ganda,” kata Raiz Mukhliz dalam kenyataan media hari ini.

Tanpa membuang masa, mangsa terus mengisi maklumat peribadi sebelum dihubungi melalui aplikasi whatsapp oleh individu yang tidak dikenali.

Suspek kemudiannya memperkenalkan kepada mangsa satu aplikasi pelaburan yang menjanjikan pulangan antara 10 peratus hingga 30 peratus daripada modal yang dilaburkan.

Mangsa yang bergantung hidup kepada wang simpanan ini telah terpengaruh dengan tawaran itu akhirnya mula melakukan transaksi.

Keseluruhannya mangsa telah melakukan 17 transaksi pembayaran yang melibatkan wang sejumlah RM310,000.00.

Setelah itu mangsa cuba log masuk ke aplikasi berkenaan di mana telah mendapati paparan menunjukkan ‘kononnya’ hasil pelaburan itu telah berkembang menjadi lebih RM2.5 juta.

Bagaimanapun mangsa menyedari telah ditipu apabila suspek meminta ‘yuran tambahan’ berjumlah RM382,811.60 jika mahu membuat pengeluaran.

Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam (8 Disember 2025).

Raiz Mukhliz berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *