



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 DIS. 2025
Satu pengiktirafan besar buat Malaysia di pentas global apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dilantik semula sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi penggal 2026–2028.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada PERKESO semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) Kali Ke-9, Bil. 2 Tahun 2025 di Putrajaya hari ini.
“Saya menegaskan keperluan melaksana program secara inklusif, merangkumi seluruh negara dan semua segmen masyarakat, termasuk penyediaan perkhidmatan penting seperti pusat rehabilitasi, malah undang-undang dan peraturan berkaitan juga perlu diteliti semula agar pelaksanaan inisiatif dapat dipercepat dan memberi impak terbaik kepada rakyat,” kata beliau dalam hantaran di FB.
PENAMBAHBAIKAN SISTEM PADU
Beliau berkata mesyuarat berkenaam juga mengambil maklum penambahbaikan sistem PADU yang dipacu Kementerian Ekonomi, serta pembentangan kertas kerja oleh PERKESO, World Bank dan Kementerian Ekonomi dalam usaha memperkukuh ekosistem perlindungan sosial negara.
Beliau turut menghargai penerbitan Statistik Perlindungan Sosial Malaysia 2024, sebagai rujukan penting dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar kepada rakyat di seluruh pelosok negara. – JM
