
Oleh: Sholina Osman
11 DIS 2025
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pengangkatan Orang Islam (Negeri Perlis) 2025.
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata kelulusan ini merupakan langkah progresif Kerajaan Negeri dalam memartabatkan undang-undang keluarga Islam serta menjunjung titah Raja Muda Perlis selaku Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) agar bidang kuasa Mahkamah Syariah diperluas, khususnya dalam hal ehwal pengangkatan.
“Hasrat ini telah diluluskan oleh Persidangan MAIPs Bil.5/2025 pada 2 Oktober 2025 lalu,” kata beliau ketika membentangkan RUU itu pada persidangan DUN berkenaan, di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Beliau menjelaskan penggubalan Enakmen ini untuk memberikan punca kuasa yang jelas kepada Mahkamah Tinggi Syariah bagi mendengar dan memutuskan permohonan pengangkatan anak bagi orang Islam, yang sebelum ini terhad di bawah bidang kuasa sivil atau tanpa
perundangan Syariah yang khusus.
Mohd Shukri berkata pelaksanaan enakmen ini menawarkan penyelesaian tuntas terhadap isu-isu pengangkatan dalam masyarakat Islam melalui empat manfaat utama.
“Penyelesaian Isu Mahram Melalui Susuan (Rada’ah) yang berbeza dengan undang-undang sivil di mana enakmen ini memperkenalkan peruntukan khusus berkaitan susuan bagi tujuan pemeliharaan hubungan mahram bagi kanak-kanak di bawah dua tahun,” kata beliau.
Beliau berkata ini membolehkan ibu bapa angkat mewujudkan hubungan mahram yang sah dari segi Syarak dengan anak angkat, sekaligus menyelesaikan isu batas aurat dan pergaulan apabila kanak-kanak tersebut dewasa kelak.
Selain itu bagi Hak Harta dan Nafkah Anak, enakmen ini pula menetapkan kerangka perundangan yang jelas
mengenai hak harta anak angkat
serta tanggungjawab penjagaan dan nafkah.
Ia bagi memastikan masa depan dan kebajikan ekonomi anak angkat terjamin dan dilindungi di bawah perintah Mahkamah, mengelakkan pengabaian hak mereka.
Juga Perlindungan Kanak-Kanak Melalui Penjaga Yang diputuskan oleh Mahkamah (Ad Litem) adalah bagi
memastikan tiada unsur pemerdagangan atau penganiayaan.
Mahkamah diwajibkan melantik
seorang Penjaga (Ad Litem) semasa prosiding berlangsung.
Pegawai ini bertanggungjawab menyiasat dan memastikan setiap permohonan pengangkatan benar-benar dibuat demi kepentingan terbaik (best interest) kanak-kanak tersebut.
Selain itu Proses Pendaftaran yang Sah dan Teratur Melalui kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN), perintah pengangkatan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah akan diktiraf bagi tujuan pendaftaran pengangkatan yang rasmi.
Ini memudahkan urusan dokumentasi anak angkat seperti persekolahan dan kewarganegaraan tanpa karenah birokrasi yang rumit.
Dengan kelulusan ini, Negeri Perlis kini memiliki satu ekosistem perundangan pengangkatan yang komprensif, patuh syariah dan mengutamakan kesejahteraan institusi kekeluargaan. – JM
