




Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
11 DIS. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan dan jentera Kementerian bersama Kerajaan Negeri perlulah memastikan pembangunan pesat di stesen-stesen kereta api di luar bandar melibatkan rakyat setempat termasuk peniaga kecil.
Beliau berkata stesen-stesen ini akan berkembanh menjadi satu pusat kegiatan ekonomi yang baharu.
Bagaimanapun kata beliau ia memerlukan campur tangan jentera Kementerian dan Jabatan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan pusat-pusat gerai makanan yang bersih dan indah.
PELUANG-PELUANG PEKERJAAN
“Akan wujud peluang-peluang pekerjaan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat termasuk perumahan di sekitar kawasan-kawasan tersebut,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku
Mahkota Ismail di Stesen Kempas Baru di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Anwar berkata ini adalah kelainan dalam pendekatan Ekonomi MADANI yang menunjukkan keprihatinan bahawa pembangunan itu mesti dilonjakkan.
IA MEMERLUKAN KEPRIHATINAN
Bagaimanapun kata beliau dalam masa yang sama ia memerlukan keprihatinan, campur tangan, moral suasion dan juga hidden hand daripada jentera Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta termasuk yang besar.
“Misalnya hari ini kita lihat SIPP-YTL memastikan ada program-program yang dapat memberi manfaat secara langsung untuk rakyat di semua peringkat,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata Johor misalnya, yang kini mencatat prestasi ekonomi memberangsangkan dengan pelaburan menghampiri RM100 bilion, perlu memanfaatkan stesen kereta api kecil di seluruh rangkaian.
PENINGKATAN PENDAPATAN RAKYAT
“Johor sudah bertapak sebagai ekonomi gagah tetapi pendekatan ekonomi kita perlu bawa kepada peningkatan pendapatan rakyat dan pembangunan lebih menyeluruh,” katanya.
Anwar berkata beliau berbangga dengan penyempurnaan projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang disifatkannya sebagai boleh menjadi model pembangunan negara dalam pembinaan infrastruktur pengangkutan.
Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru sepanjang 192 kilometer itu melibatkan pembinaan 11 stesen baharu yang direka berteraskan identiti serta warisan negeri Johor meliputi empat daerah utama iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dengan stesen terakhir di JB Sentral. – JM
