MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka

Wartawan JM
12 DIS. 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperuntukkan dana sebanyak RM310 juta untuk membangunkan infrastruktur kesalinghubungan bagi inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata peruntukan itu akan menyokong hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai bandar warisan digital selaras dengan statusnya sebagai negeri warisan.

“MCMC telah mengadakan sesi perbincangan untuk membantu melaksanakan pelan tindakan Melaka Pintar 2035 di mana ini menjadi panduan utama kepada transformasi digital negeri ke arah pembangunan lestari, berdaya huni dan berdaya tahan,” kata beliau.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Melaka dan MCMC dalam Pembangunan Infrastruktur Kesalinghubungan bagi Inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka.

DENGAN DISAKSIKAN OLEH

MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad, dengan disaksikan oleh Fahmi serta Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Fahmi berkata infrastruktur kesalinghubungan pintar menyediakan asas kukuh
pembangunan bandar pintar, terutamanya dalam penyediaan
rangkaian gentian optik, smart pole dan Wi-Fi awam bagi meningkatkan akses kepada capaian Internet di seluruh negeri Melaka.

Beliau berkata pada masa sama, merangsang pembangunan ekonomi digital tempatan dengan memperkukuh infrastruktur komunikasi bagi menyokong sektor pelancongan, peruncitan, logistik dan
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sekali gus mewujudkan
persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan.

Fahmi berkata pelaksanaan kerjasama ini akan memberikan manfaat besar kepada rakyat Melaka.

BANDAR PINTAR DUNIA

Beliau berkata ini terbukti apabila pengalaman bandar pintar dunia menunjukkan bagaimana teknologi mampu meningkatkan kualiti hidup, memperkasakan perkhidmatan awam, memudahkan mobiliti dan merancakkan ekonomi bandar.

“Sebagai contoh, pengurusan trafik di Barcelona berjayamengurangkan kesesakan hingga 20 peratus melalui lampu isyarat pintar, sementara Hangzhou dengan sistem AI ‘City Brain’ berjaya menurunkan kesesakan hingga 15 peratus dan mempercepat maklum balas ambulans sebanyak 50 peratus,” kata beliau.

Manakala di Seoul pula, kata Fahmi
penggunaan lebih 1 juta sensor pintar mempercepat maklum balas
kecemasan hingga 20 peratus.

Justeru itu kata beliau semua contoh ini ialah bukti nyata bagaimana bandar pintar mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat, perkhidmatan awam, pengurusan trafik dan sektor pelancongan warisan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *