Banjir: RM2.3 juta disalurkan kepada 2,289 Ketua Isi Rumah di Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto FB SUK Perlis
13 DIS. 2025

Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah
hampir RM2.3 juta telah disalurkan kepada 2,289 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Perlis.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata setiap keluarga ini menerima RM1,000 BWI Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 sehingga semalam (12 Disember 2025).

BWI yang dikendalikan oleh Sekretariat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mula diproses dan dihantar kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk disalurkan kepada penerima.

TEMPOH TIGA MINGGU

“Kita menjangkakan penyaluran BWI ini akan dapat diselesaikan kepada penerima dalam tempoh tiga minggu lagi,” kata Rahimi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Perlis Tahun 2025 yang telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Kecil 3, Aras 2, Blok F, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, hari ini.

Rahimi berkata anggaran keseluruhan kerugian akibat banjir di Perlis yang bermula penghujung bulan lalu adalah sebanyak RM150 juta.

MELIBATKAN KEROSAKAN INFRASTRUKTUR

Jelas beliau ia melibatkan kerosakan infrastruktur, kediaman, pertanian, ekonomi setempat, kemudahan awam serta sektor pendidikan dan kesihatan.

“Paling tinggi kerugian adalah sektor pertanian sejumlah RM65 juta yang melibatkan 15,000 hektar padi,” katanya.

Rahimi berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah pula telah dikenalpasti untuk dijadikan sebagai Pusat Penempatan Kekal (PPK) bagi mangsa banjir.

Jelas beliau pembinaan pusat berkenaan dijangka akan dimulakan mulai tahun depan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *