Kempen Internet Selamat2025 peringkat Wilayah Selatan berjaya perkasa lebih 26,000 pelajar

Oleh: Sholina Osman
13 DIS. 2025

Kempen Internet Selamat (KIS)
2025 peringkat Wilayah Selatan berjaya memperkasakan lebih 26,000 pelajar melalui pelaksanaan pelbagai program sepanjang tahun ini.

Kenyataan media
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) memaklumkan kempen itu telah dilaksanakan di 1,478 institusi pendidikan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dengan penyertaan 26,617 pelajar setakat 30 November lalu.

“Program ini dianjurkan untuk meraikan kejayaan kerjasama strategik pelaksanaan inisiatif nasional Kementerian Komunikasi melalui MCMC yang dilaksanakan sepanjang 2025 ini,” kata kenyataan itu.

KOMITMEN DAN KERJASAMA

Penganjuran Kempen Internet Selamat peringkat Wilayah Selatan ialah hasil komitmen dan kerjasama erat Exco Kerajaan Negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bersama dengan MCMC, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dengan sokongan padu kerajaan negeri dan agensi tempatan.

Berhubung penganjuran kempen berkenaan di Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka, MCMC memaklumkan antara pengisian utama sepanjang program ialah Forum Kempen Internet Selamat bertajuk “Media Sosial: Cabaran Semasa, Solusi Bersama”, penyampaian modul kempen untuk murid berusia 10 hingga 12 tahun, Pelantikan Ikon K-DAT, zon interaktif dan reruai pameran.

Program hari ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi)
Kementerian Komunikasi V. Mano yang mewakili Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan, Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan Sharifudin Md Salleh dan Pengarah MMU Kampus Melaka Prof Dr Hishamuddin Ismail. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *