
13 Disember 2025
Perdana Menteri, Datok Seri Anwar Ibrahim meneruskan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald J.Trump berkaitan isu ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand.
” Saya telah menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, di mana kami berbincang berkenaan konflik Kemboja-Thailand, hubungan dua hala serta isu global yang menjadi kepentingan bersama.
” Berhubung ketegangan di sempadan Kemboja–Thailand, saya menjelaskan peranan Malaysia yang menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN,” kata PMX dalam perkongsian di laman media sosialnya hari ini.
Menurut PMX , Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik ASEAN.
Beliau berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai situasi dan menyokong langkah penyaheskalasian.
” Saya turut menyampaikan penghargaan atas keterlibatan aktif Amerika Syarikat dengan ASEAN serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ” jelas beliau lagi.
