Malaysia kekal fokus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa – PMX

13 Disember 2025

Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim berkata, susulan perbincangan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, dan mengambil kira ketegangan berterusan di sempadan Kemboja–Thailand, PMX telah mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

Jelas PMX lagi dalam perbincangan tersebut, beliau menyuarakan kebimbangan serius Malaysia serta menggesa kedua-dua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan, dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa pada jam 10.00 malam, 13 Disember 2025 (UTC+7).

PMX berkata, bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan, Malaysia telah meminta penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team – AOT) yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia untuk memantau situasi di lapangan.

Ujar PMX lagi, misi tersebut akan turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat, bermula pada waktu yang sama.

Jelas PMX lagi, dapatan pemantauan lapangan dan satelit ini akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, 16 Disember.

“Laporan tersebut akan memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak, demi kepentingan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau” kata PMX dalam perkongsian beliau di laman sosial hari ini.

Tegas PMX lagi , Malaysia kekal fokus untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi memastikan dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *