






Oleh: Sholina Osman
13 DIS. 2025
Satu sesi pra-tayang dokumentari khas sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berlangsung di Hall 1, Golden Screen Cinema (GSC), Kangar Jaya Mall.
Sesi ini dianjurkan khusus bagi mempersembahkan gambaran awal dokumentari berkenaan sebelum tayangan rasmi kepada umum pada tahun hadapan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke majlis tersebut, menzahirkan sokongan dan penghargaan tinggi Baginda berdua terhadap usaha pendokumentasian bersejarah ini.
BAGINDA BERDUA DISAMBUT
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dr. Noriman Rojulai serta Pengarah Kangar Jaya Sdn. Bhd., Kim Lin Teng,
Sempena sesi pra-tayang tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meninjau beberapa lokasi utama di sekitar Kangar Jaya Mall yang akan dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula 19 Disember 2025.
Lawatan ringkas tersebut merangkumi tinjauan terhadap perkembangan pusat komersial baru itu serta kemudahan yang ditawarkan kepada para pengunjung. – JM
