Bekas pengurus di Kluang rugi RM241,000 ditipu “phone scam”

Oleh: Sholina Osman
13 DIS. 2025

“Phone scam” terus memperdaya mangsa, terbaharu seorang bekas pengurus di Kluang, Johor terpaksa “berputih mata” apabila ditipu sebanyak RM241,000.00.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata lelaki berusia 47 ini terpedaya dengan gertak “phone scam” yang mendakwa mangsa telah terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram.

Beliau berkata mangsa yang menyedari ditipu ini telah tampil membuat laporan di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kluang hari ini (13 Disember 2025).

Bahrin berkata dari siasatan awal mendapati mangsa telah menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali pad 6 November 2025.

MENDAKWA NOMBOR TELEFON

“Suspek memperkenalkan diri dari pusat “National Scam Response Centre” (NSRC) di mana mendakwa nombor telefon mangsa telah digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau.

Selepas itu panggilan telah disambungkan ke Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Ketika ini mangsa diberitahu bahawa terdapat waran tangkap telah dikeluarkan atas nama beliau kerana terlibat dalam kes penggubahan wang haram.

Berikutan itu mangsa diminta untuk memindahkan kesemua wang miliknya ke nombor akaun yang diberikan oleh suspek bagi tujuan siasatan.

UNTUK MEMBUAT PEMBAYARAN

Mangsa kemudiannya diarah untuk membuat pembayaran ke tujuh nombor akaun bank yang berbeza secara berperingkat-peringkat iaitu di antara tarikh 18 November 2025 hingga 27 November 2025.

Mangsa menyedari sudah ditipu selepas selesai pembayaran tetapi masih tidak menerima kembali kesemua wang tersebut.

Polis menyiasat kes ini dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih sepuluh tahun, dengan sebatan dan juga denda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *