






BALING, 13 Disember 2025 – Kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI apabila sebanyak 17 unit rumah ganti diserahkan kepada keluarga mangsa tragedi kepala air Sungai Kupang, Kampung Iboi, Baling, Kedah. Majlis penyerahan kunci rumah baharu ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kedah.
PERUNTUKAN RM3 JUTA
Projek inisiatif Kerajaan Persekutuan ini dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM3 juta, manakala penentuan tapak perumahan diselaraskan oleh Kerajaan Negeri Kedah dengan anggaran kos RM600,000. Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah dilantik sebagai agensi pelaksana, dengan pemantauan bersepadu oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Pejabat Kewangan Negeri Kedah dan Pejabat Daerah Baling bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual.
Pembinaan rumah ganti lengkap dengan kemudahan infrastruktur ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk menyantuni rakyat yang terkesan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan rakyat.
