238 sertai Cabaran Lumba Basikal Lasak Gravel Perlis, “Northbound Gravel Grinder 2025”

Oleh: Sholina Osman
15 DIS. 2025

Seramai 238 peserta mengambil bahagian dalam Cabaran Lumba Basikal Lasak Gravel Perlis, “Northbound Gravel Grinder 2025” sejauh 134 kilometer.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan tersebut yang diadakan di Taman Rekreasi Tasik Melati, Perlis.

Berangkat sama ialah puteri kedua Baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Bagi kategori ‘Lelaki 26 er MTB’ dimenangi oleh Muhammad Ahnaf Mohd Yasin, ‘Terbuka Wanita’ diungguli oleh Adzura Harun, dan ‘Terbuka Lelaki’ dijuarai oleh Saniy Syahmi.

GRiP TEAM MUNCUL

Manakala bagi ‘kategori berpasukan’ pula, GRiP Team muncul sebagai johan, ENIX keluar sebagai naib johan dan tempat ketiga HCG (Hillpark Cycling Group).

Cabaran Basikal Lasak Perlis (NorthBound Gravel Grinder) ini adalah idea asal anak jati Perlis, iaitu Penyelaras Program, Abdul Ramdzhani Abdul Rahman yang mahu memperkenalkan jaringan jalan-jalan berbatu kerikil menelusuri pemandangan indah dan persekitaran semula jadi sekitar Perlis.

Acara yang pertama kali dianjurkan ini adalah acara penutup bagi siri jelajah gravel Malaysia dan telah berjaya menarik peminat basikal lasak dari seluruh negara dan juga peserta dari luar negara termasuk dari Sepanyol, Singapura, Indonesia, Thailand, Belanda dan banyak lagi. Hanya dua orang peserta adalah dari Perlis.

MENDUKUNG SEMANGAT KOMUNITI

Ia juga adalah satu acara yang mendukung semangat komuniti dan setiakawan rapat di mana setiap peserta turut menyumbang tenaga, idea dan sokongan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan peminat tegar sukan berbasikal dipersembah maklumkan yang hanya dua peserta adalah dari Perlis dan selebihnya dari luar.

Tuanku Raja Muda menyarankan agar acara ini dapat diteruskan di masa hadapan untuk menggalakkan pelancongan negeri ini amnya.

Secara tidak langsung program ini memainkan peranan membantu menjayakan sektor pelancongan sukan sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *