Penyedia perkhidmatan pesanan Internet, media sosial disifatkan berdaftar mulai 1 Januari 2026 – MCMC

Oleh: Sholina Osman
15 DIS. 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia yang tertakluk kepada kerangka pelesenan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) melalui pengetepian formaliti pendaftaran di bawah seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming).

Kenyataan media MCMC menjelaskan langkah ini untuk memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.

“Pendekatan ini juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

MEMASTIKAN SEMUA PLATFORM

Malah inisiatif ini juga bagi memastikan semua platform terlibat untuk memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.

Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini dilaksanakan terhadap penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, dan pelaksanaan ini hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.

AKAN TERUS BEROPERASI

Penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global mereka seperti biasa.

Pendekatan ini sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.

МСМС akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian terutamanya kanak-kanak serta keluarga demi manfaat semua pengguna di Malaysia.

Maklumat terperinci tentang pelaksanaan Peruntukan
Deeming boleh diperoleh melalui laman sesawang MCMC di
https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf2/FAQ_Pelaksanaan-Peruntukan-Deeming_15-Disember-2025.pdf. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *