




Oleh: Sholina Osman
16 DIS. 2025
25 pelajar cemerlang menerima Biasiswa MCMC LEGASI dan MCMC CARE pada majlis yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa tawaran biasiswa oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini mencerminkan komitmen jangka panjang MCMC bagi membangunkan bakat berkemahiran tinggi untuk memperkukuh daya saing Malaysia dalam memajukan sektor komunikasi dan multimedia negara.
Kedua-dua biasiswa ini menyediakan pembiayaan penuh serta pendedahan industri secara berstruktur bagi melengkapkan bakat muda Malaysia dengan kemahiran dalam bidang pengajian seperti telekomunikasi, media, dasar pengawalseliaan,
keselamatan siber dan Internet of Things (IoT).
PELAJAR BERPRESTASI TINGGI
Biasiswa MCMC LEGASI ditawarkan kepada lima orang pelajar berprestasi tinggi untuk melanjutkan pengajian di dalam atau luar negara.
Biasiswa MCMC CARE pula
ditawarkan kepada 20 orang pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan.
Biasiswa MCMC LEGASI merupakan biasiswa berasaskan merit yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan komunikasi dan multimedia di universiti terkemuka sama ada
dalam atau luar negara.
KOS SARA HIDUP
Selain pembiayaan penuh bagi yuran pengajian dan kos sara hidup, program ini turut menawarkan penempatan latihan industri serta jaminan pekerjaan di MCMC.
Semua penerima biasiswa akan didedahkan kepada bidang seperti pembangunan peraturan, infrastruktur digital, inovasi dasar dan keselamatan rangkaian.
Mereka juga akan menerima latihan dan pensijilan dalam pelbagai kemahiran sebagai persediaan
untuk memimpin sektor ini sejurus tamat pengajian.
MEMBANTU PELAJAR BERPOTENSI
Biasiswa MCMC CARE pula merupakan biasiswa berasaskan keperluan yang bertujuan membantu pelajar berpotensi tinggi daripada komuniti yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti tempatan.
Selain bantuan kewangan penuh, para penerima biasiswa juga akan
mendapat peluang menjalani latihan industri di MCMC.
Proses pemilihan penerima biasiswa telah dijalankan dengan teliti dan melibatkan 907 permohonan – 588 bagi program LEGASI dan 319 bagi program CARE.
MELALUI BEBERAPA PERINGKAT
Calon-calon telah melalui beberapa peringkat temu duga termasuk penilaian akademik, keperluan
kewangan, ujian psikometrik serta temu duga terakhir oleh jawatankuasa bebas yang terdiri daripada pegawai MCMC dan ahli akademik.
Pemilihan turut memastikan wakil
dari Sabah dan Sarawak diberikan peluang sewajarnya bagi mencerminkan kepelbagaian bakat anak muda Malaysia.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. – JM
