





Oleh: Sholina Osman
16 DIS. 2025
Anugerah Buku Antarabangsa ASEAN (ASEAN International Book Award) 2025 telah melakar sejarah tersendiri dengan penganjuran pertamanya sebagai mengiktiraf kecemerlangan penerbit dan pengarang dari seluruh Asia Tenggara.
Majlis berprestij yang berlangsung di Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Shamsul Azri mengucapkan tahniah kepada Yayasan Generasi Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Consortium of Asia-Pacific Education Universities (CAPEU) atas inisiatif dan kejayaan menghimpunkan penulis, penerbit dan pemegang taruh industri buku dari seluruh pelosok negara-negara ASEAN.
JARINGAN KERJASAMA SERANTAU
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama serantau dalam bidang penerbitan dan kesusasteraan, malah turut memperkaya pertukaran idea, memperluas jangkauan ilmu pengetahuan, serta mengangkat martabat karya intelektual rantau ini ke persada antarabangsa,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.
Beliau berkata penganjuran program berimpak tinggi dan inklusif itu jelas mencerminkan komitmen penganjur dalam menyokong agenda pembangunan ilmu, pemerkasaan budaya membaca, dan pembinaan masyarakat berteraskan ilmu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta semangat ASEAN yang bersatu, progresif dan dinamik.
Anugerah ini bakal menjadi acara tahunan mulai tahun ini yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Generasi Malaysia, UPSI dan CAPEU selain sokongan padu daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).
Pengarah Eksekutif CAPEU, M. Sasigaran menyifatkan penganjuran sulung ini sebagai satu kejayaan besar dalam industri perbukuan rantau ini.
TELAH MEMBUAHKAN HASIL
“Saya amat berbangga dengan kerjasama strategik di antara Yayasan Generasi Malaysia dan UPSI yang telah membuahkan hasil yang amat baik. Sinergi ini bukan sahaja berjaya merealisasikan satu platform pengiktirafan bertaraf antarabangsa, malah membuktikan komitmen kita dalam mengangkat martabat karya serantau,” kata Sasigaran.
Beliau berkata kejayaan majlis ini menjadi bukti kukuh bahawa gandingan antara institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan mampu memacu standard kerja editorial dan kreatif ke tahap yang lebih tinggi.
Anugerah ini mempertandingkan pelbagai kategori bagi meraikan kepelbagaian genre sastera dan ilmiah, termasuk anugerah utama seperti Penerbit Terbaik (Publisher of the Year) dan Pengarang Terbaik (Author of the Year).
JUDUL FIKSYEN TERBAIK
Kategori lain yang turut diiktiraf termasuk Judul Fiksyen Terbaik, Bukan Fiksyen Terbaik, Buku Kanak-kanak atau Remaja Terbaik, serta Anugerah Khas Juri untuk sumbangan kepada ilmu pengetahuan ASEAN.
Katanya, objektif utama penganjuran anugerah itu adalah untuk mengiktiraf penerbit dan pengarang yang membentuk idea serta memupuk ilmu pengetahuan yang mencerminkan kekayaan budaya dan pengalaman masyarakat ASEAN.
Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran turut dilihat strategik dalam meletakkan bandar raya ini sebagai titik pertemuan berpusat bagi editor, penulis, penterjemah, dan penggubal dasar dari seluruh rantau.
MELETAKKAN PENERBITAN ASEAN
Ia sejajar dengan hasrat penganjur untuk meletakkan penerbitan ASEAN di peta global.
Majlis yang gilang-gemilang itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang merangkumi tarian dan nyanyian negara-negara ASEAN oleh pelajar dan pegawai dari Pusat Kebudayaan UPSI.
Anugerah Buku Antarabangsa ASEAN bermatlamat untuk terus membina senarai judul ASEAN yang diiktiraf dan memperdalam hubungan antara sektor penerbitan, pendidikan, dan penyelidikan serantau pada masa depan.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar serta Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus. – JM
