Malaysia catat pelaburan RM384,4 bilion, tertinggi dalam sejarah – PMX

17 Disember 2025

PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim petang ini bertemu ketua-ketua pengarang dan wartawan media tempatan serta antarabangsa di Putrajaya bagi menjawab pelbagai persoalan termasuk rumusan pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini.

” Alhamdulillah, kita meneruskan usaha reformasi sepanjang 2025, termasuk menerusi penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, RUU Perolehan Kerajaan serta penyasaran subsidi yang adil tanpa membebankan rakyat serta menutup ruang ketirisan.

” Pengukuhan peranan badan penguat kuasa turut membuahkan hasil dengan rampasan dan penalti mencecah RM15.5 bilion, selain kemajuan ketara dalam pembangunan Sabah dan Sarawak, termasuk penyelesaian sembilan daripada 13 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” kata PMX dalam perkongsian di laman media sosialnya hari ini.

PMX berkata, dari sudut ekonomi, Malaysia mencatat pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM384.4 bilion.

” Ringgit pula terus menunjukkan pengukuhan sekitar RM4.11 berbanding dolar Amerika, ” jelas PMX lagi.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI juga menaikkan gaji penjawat awam dan gaji minimum, manakala usaha menoktahkan kemiskinan tegar juga hampir mencapai sasaran, dengan berbaki hanya 0.09 peratus.

” Di sebalik pencapaian ini, saya akui bahawa masih wujud kelemahan, kekurangan dan ruang penambahbaikan. Kerajaan MADANI akur dengan pandangan, teguran dan kritikan, serta beriltizam untuk bekerja lebih keras pada tahun hadapan,” ujar beliau lagi.

Menjawab persoalan mengenai rasional pelantikan baharu dalam Kabinet, PMX menjelaskan bahawa ia dibuat dengan mengambil kira keperluan menyuntik nafas dan tenaga baharu di beberapa kementerian, termasuk melibatkan lebih ramai tokoh muda bagi menggerakkan agenda reformasi dengan lebih pantas.

” Insya-Allah, Kabinet MADANI akan mempertingkatkan usaha pada tahun mendatang demi memastikan reformasi yang lebih bermakna selari dengan tuntutan rakyat, sambil menentang keras naratif durjana yang menghasut perpecahan, perkauman dan pelampau agama,” kata PMX lagi.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *