




Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
18 DIS. 2025
Pelantikan baharu dalam Kabinet, dibuat dengan mengambil kira keperluan menyuntik nafas dan tenaga baharu di beberapa kementerian, termasuk melibatkan lebih ramai tokoh muda bagi menggerakkan agenda reformasi dengan lebih pantas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kabinet MADANI akan mempertingkatkan usaha pada tahun mendatang demi memastikan reformasi yang lebih bermakna selari dengan tuntutan rakyat.
“Kita menentang keras naratif durjana yang menghasut perpecahan, perkauman dan pelampau agama,” kata Anwar dalam perkongsian di FB.
KETUA-KETUA PENGARANG
Sebelum itu beliau mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua pengarang dan wartawan media tempatan serta antarabangsa di Putrajaya petang semalam bagi menjawab pelbagai persoalan termasuk rumusan pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini.
“Alhamdulillah, kita meneruskan usaha reformasi sepanjang 2025, termasuk menerusi penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan serta penyasaran subsidi yang adil tanpa membebankan rakyat serta menutup ruang ketirisan,” kata beliau.
Jelas Anwar pengukuhan peranan badan penguat kuasa turut membuahkan hasil dengan rampasan dan penalti mencecah RM15.5 bilion, selain kemajuan ketara dalam pembangunan Sabah dan Sarawak, termasuk penyelesaian sembilan daripada 13 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
TERTINGGI DALAM SEJARAH
Dari sudut ekonomi, kata beliau Malaysia mencatat pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM384.4 bilion.
“Ringgit pula terus menunjukkan pengukuhan sekitar RM4.11 berbanding dolar Amerika,” kata beliau.
Anwar berkata Kerajaan MADANI juga menaikkan gaji penjawat awam dan gaji minimum, manakala usaha menoktahkan kemiskinan tegar juga hampir mencapai sasaran, dengan berbaki hanya 0.09 peratus.
“Di sebalik pencapaian ini, saya akui bahawa masih wujud kelemahan, kekurangan dan ruang penambahbaikan,” jelas beliau.
Beliau berkata Kerajaan MADANI akur dengan pandangan, teguran dan kritikan, serta beriltizam untuk bekerja lebih keras pada tahun hadapan. – JM
