






Oleh: Sholina Osman
18 DIS. 2025
‘Marilah kita sama-sama berusaha memperkukuhkan lagi ikatan ukhuwah dan menjadikan ‘Ummatan Wahidah’ sebagai prinsip hidup kita, bukan hanya di peringkat tempatan, tetapi juga di peringkat global.
Semoga dengan usaha ini, Islam akan terus berkembang maju dan menjadi rahmat kepada seluruh umat manusia’.
Usaha ini bukan sahaja mampu memperkukuhkan lagi ikatan antara umat Islam, tetapi juga menjadikan umat kita sebagai contoh terbaik kepada dunia dalam menjalani kehidupan yang penuh kasih sayang dan aman damai.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM2,000 kepada Masjid Nuruddin di Hatyai, Thailand semalan.
TERJEJAS AKIBAT BANJIR
Sumbangan diterima oleh Imam Hawaree Yusup bagi pihak masjid yang juga dikenali sebagai ‘Na Khuan Lang’ yang turut terjejas akibat banjir besar yang melanda bandaraya terbesar di selatan Thailand itu baru-baru ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut mengiring ialah Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.
Masjid berkenaan menempatkan seramai 33 orang pelajar sekolah agama lelaki berusia antara 12 hingga 15 tahun yang mana Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan bahawa sebagai sebuah Ummah, kita tidak boleh terpisah-pisah atau berpecah dalam menuntut kebaikan.
Oleh itu, amat penting untuk kita turut menguatkan lagi hubungan antara sekolah-sekolah Islam di seluruh dunia, agar dapat memperkaya pendidikan yang diterima oleh para pelajar. – JM
