UniMAP perkenal Sistem Buddy bantu pelajar OKU belajar dengan lebih yakin, teratur

Wartawan JM
18 DIS. 2025

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), memperkenalkan Sistem Buddy UniMAP, satu inisiatif sokongan rakan sebaya yang memberi ruang kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) untuk belajar dengan lebih yakin dan teratur.

Sistem Buddy ini akan mempertemukan pelajar OKU dengan rakan sebaya yang dilatih khusus sebagai “buddy”, yang bukan sahaja membantu dalam urusan akademik, malah menjadi teman sokongan dalam menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, inisiatif tersebut lahir daripada keprihatinan universiti terhadap realiti yang dihadapi pelajar OKU dalam menempuh kehidupan sebagai mahasiswa.

POTENSI YANG BESAR

“Setiap pelajar mempunyai potensi yang besar, bagi pelajar OKU, mereka memerlukan sokongan tambahan agar potensi ini dapat digilap sepenuhnya.
 
“Sistem Buddy diwujudkan supaya mereka berasa diterima, difahami dan tidak berdepan cabaran ini secara bersendirian,” katanya yang ditemui selepas pelancaran sistem tersebut pada Majlis Apresiasi Kasih UniMAP di Kuala Lumpur, semalam.

Tambah beliau, melalui pendekatan rakan sebaya, pelajar OKU bukan sahaja dibantu dari segi navigasi kampus dan pengurusan tugasan akademik, malah turut diberi sokongan emosi yang membantu meningkatkan keyakinan diri dan semangat untuk terus berjaya.

“Pelaksanaan Sistem Buddy UniMAP digerakkan melalui tiga teras utama, iaitu Pementoran dan Bimbingan; Sokongan Pembelajaran; dan Inklusi Sosial.

BANTUAN MENCATAT NOTA

“Pendekatan ini membolehkan pelajar OKU mendapatkan bantuan mencatat nota, persediaan peperiksaan, akses kepada kemudahan pembelajaran serta peluang untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kampus,” katanya.

Ujar Mustafa lagi, bagi pelajar yang menjadi buddy, pengalaman tersebut turut membentuk nilai empati, kepimpinan dan kepekaan sosial.

“Mereka bukan sekadar membantu, malah belajar memahami kepelbagaian keupayaan dan erti sebenar kebersamaan dalam komuniti universiti.

“Apabila seorang pelajar membantu rakannya, kita sebenarnya sedang membina budaya kampus yang lebih penyayang dan inklusif. Inilah nilai kemanusiaan yang ingin kita semai dalam diri graduan UniMAP,” katanya.

SEBAGAI TANDA PENGHARGAAN

Katanya lagi, sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen pelajar buddy, UniMAP menyediakan insentif elaun berbayar berjumlah RM400 hingga RM800 per semester, sekali gus mengiktiraf sumbangan mereka dalam menjayakan agenda pendidikan inklusif universiti.

“Pelaksanaan Sistem Buddy UniMAP bukan sahaja membuka akses pembelajaran yang lebih adil kepada pelajar OKU, malah menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 10: Pengurangan Ketidaksamaan.

“Malah di sebalik sistem dan struktur yang dibina, inisiatif ini membawa satu mesej yang jelas iaitu di UniMAP, pendidikan bukan sekadar tentang pencapaian akademik, tetapi juga tentang saling menyokong, memahami dan melangkah bersama-sama ke hadapan,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *