Menteri KESUMA umum 4 perkara berkaitan keselamatan sosial

Oleh: Sholina Osman
19 DIS.2025

Semua permohonan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merentasi empat akta boleh dikemukakan secara dalam talian, berkuat kuasa Januari ini.

Pembaharuan dasar itu antara empat pengumuman utama oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri
R. Ramanan selepas beliau selesai mengadakan lawatan kerja rasmi sulung ke Menara PERKESO.

Beliau berkata tiga lagi inti pati pengumuman ialah berkaitan sasaran pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) menjelang suku pertama atau akhir suku kedua 2026 dan
pengurangan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sebanyak 80 peratus mulai hari ini hingga hujung Februari 2026.

YANG AKAN DIRINTIS

Ramanan juga mengumumkan Skim Pengembara yang akan dirintis menerusi kajian kebolehlaksanaan,
mulai tahun depan, demi memastikan hampir 400,000 pekerja tempatan yang melintas Tambak Johor setiap hari tidak tercicir daripada mendapat perlindungan keselamatan sosial.

“Untuk memastikan perkhidmatan terbaik untuk lebih 10 juta pekerja sektor formal dan informal di
Malaysia, saya mengarahkan PERKESO supaya semua permohonan faedah, meliputi Akta
Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta
789), Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah
2022 (Akta 838) boleh dibuat secara dalam talian,” kata Ramanan.

“Pengoperasian penuh portal LINDUNG Faedah akan membabitkan permohonan faedah Hilang
Upaya Kekal (HUK), Hilang Upaya Sementara (HUS), Pencen Ilat, Penyakit Khidmat, Faedah
Orang Tanggungan (FOT) dan Pencen Penakat.

KADAR PERMOHONAN FAEDAH

“Oleh itu, kadar permohonan faedah PERKESO yang secara purata lebih 200,000 setahun dapat
dipermudah, sekali gus tidak memberi bebanan tambahan kepada pencarum dan waris keluarga
untuk tampil ke pejabat PERKESO di seluruh negara,” katanya pada sidang media, hari ini.

Turut hadir di Menara PERKESO ialah Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, pihaknya cakna dengan situasi segelintir majikan, khususnya
Perusahaan medium, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan kekangan peningkatan kos
operasi perniagaan.

Sehubungan itu, katanya, pengurangan FCLB untuk tempoh sekitar dua bulan adalah amat
berpatutan, demi memastikan kelangsungan operasi majikan.

PEMBANGUNAN INFRASTRUKUR DALAMAN

Selain itu, beliau berkata, pembangunan infrastruktur dalaman dan peningkatan kecekapan
pentadbiran PERKESO dilakukan bagi menjamin kelancaran pelaksanaan LINDUNG 24 Jam dan pengoperasian perundangan berkaitan sektor gig.

“PERKESO sudah meneliti semua rantaian proses pentadbiran, termasuk merintis usaha
meningkatkan keberkesanan pemprosesan kes melalui kaedah dalam talian.

“Bagi sektor gig pula, memandangkan caruman akan dibuat secara mandatori apabila Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 dikuatkuasakan, KESUMA (Kementerian Sumber Manusia)
mahu pastikan kelancaran operasi.

TIDAK SEKADAR CNTIK

“Kita perlu pastikan setiap dasar yang direncana tidak sekadar cantik di atas kertas, tetapi diterjemahkan secara berkesan di lapangan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk SerI Dr. Mohammed Azman
Aziz Mohammed, menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baharu KESUMA akan
memperkukuh keupayaan PERKESO sebagai pelaksana utama agenda reformasi perlindungan
sosial negara.

“Dengan pengalaman, iltizam dan kepimpinan Ramanan, PERKESO akan terus memainkan peranan bukan sekadar sebagai pelaksana dasar, malah sebagai rakan strategik
Kerajaan dalam membina negara yang berdaya tahan dan menjamin kesejahteraan sosial rakyat
secara inklusif,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *